Malaysia Bhd akan berunding dengan Alibaba, bulan ini, bagi mencari kaedah memintas orang tengah dalam penghantaran produk jualan gergasi online itu, kata ketua pegawai eksekutifnya.
Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dipetik Bloomberg berkata, peningkatan penghantaran parcel untuk pembelian dalam talian memacu keuntungan Pos Malaysia melonjak 40% pada suku pertama fiskal dan pendapatan sepanjang tahun dijangka lebih tinggi daripada tahun sebelumnya.
Sehubungan itu, beliau masih menumpukan e-perdagangan yang memacu perniagaan logistik, kerana perlu ada pihak yang menghantar produk dibeli pengguna Internet.
“Pemilik pasaran mahu berurusan terus dengan pemain logistik. Saya akan pergi ke China untuk menemui Alibaba dan pemain pasaran lain pada Oktober,” katanya ketika ditemui Bloomberg, baru-baru ini.
Syarikat pos di Asia memperluaskan pasaran ke luar negara untuk memenuhi perminataan kian meningkat yang didorong pasaran runcit e-dagang global bernilai kira-kira $1.2 trilion oleh Kesatuan Pos Universal.
Pos Malaysia ditubuhkan pada awal 1800-an dan prestasi sahamnya adalah yang terbaik antara 14 kurier global tahun ini, dengan nilai pasaran sekurang-kurangnya $500 juta yang mencatat pulangan sebanyak 49% mengatasi United Parcel Service Inc dan FedEx Corp.
Saham Pos Malaysia melonjak 85% daripada tahap rendah pada Februari lalu, disokong kenaikan pendapatan perniagaan kurier dan tarif mungkin dinaikkan untuk julung kali dalam tempoh 6 tahun.
Shukrie berkata, kerajaan sedang mengkaji cadangan pihaknya untuk menaikkan kadar pos.
Syarikat itu bernilai 25 kali pendapatan daripada unjuran keuntungan 12 bulan, berbanding 18 kali untuk UPS, syarikat kurier paling berharga di dunia.
Alibaba berkata, sekutu penghantarannya ialah Cainiao Smart Logistics Network Ltd yang akan bekerjasama dengan syarikat logistik bagi meningkatkan kecekapan operasi dan tidak salah untuk mereka berunding dengan peserta industri.
Shukrie berkata, tindakan Pos Malaysia menyempurnakan pembelian KL Airport Services Sdn Bhd daripada DRB-Hicom Bhd, bulan lalu, akan meningkatkan pendapatannya kepada RM2 bilion bagi tahun kewangan berakhir Mac 2018 dan membolehkan syarikat itu menawarkan lebih banyak perkhidmatan logistik di luar negara.
Beliau berkata, Pos Malaysia tidak mahu selesa dengan hanya membangunkan sejajar pasaran, sebaliknya mereka mahu berkembang lebih daripada pasaran.
No comments:
Post a Comment