Thursday, 13 October 2016

4 harapan peniaga Melayu Pulau Pinang

Menjelang pembentangan Bajet 2017 pada 21 Okt ini, Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang berharap ia akan memberi fokus dalam aspek membantu para usahawan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan rumah mampu milik.

Setiausaha kehormatnya, Raja Rizal Kamrul Abdullah berkata dewan itu berharap agar kerajaan akan terus menyokong usahawan tempatan kerana kebanyakan produk tempatan mempunyai potensi untuk berkembang di pasaran luar negara.

"Kebanyakan ahli perniagaan tempatan mempunyai produk yang unik yang mana kami percaya mereka mempunyai peluang yang cerah, tetapi kerajaan perlu membantu kami mencapai hasrat itu kerana banyak daripada kami tidak mempunyai akses kepada pembiayaan," kata beliau.

Pada masa kini, terdapat lebih 700 usahawan tempatan yang merupakan sebahagian daripada Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan mereka banyak membantu ahli perniagaan tempatan untuk memulakan perniagaan dengan usaha mereka sendiri.

Selain itu, Raja Rizal Kamrul juga menegaskan bahawa penjagaan kesihatan dan pendidikan, yang menjadi keperluan asas rakyat akan diutamakan oleh kerajaan.

"Ketika ekonomi semasa berdepan dengan cabaran, ramai yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dan bukannya hospital swasta. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan hospital perlu berada dalam keadaan yang baik agar kesejahteraan rakyat dijaga," kata Raja Rizal Kamrul.

Bagi bidang pendidikan, beliau berkata tanpa pendidikan yang sempurna, sesebuah negara tidak akan berkembang maju dan ia akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.

"Pendidikan amat penting untuk setiap individu, terutamanya mereka yang mahu menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Tanpa pendidikan, kita memang merancang untuk gagal," katanya.

Dari segi perumahan mampu milik, beliau berharap kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri boleh bekerjasama dan membantu mereka yang memerlukan tempat untuk berlindung.

"Kini, rumah terlalu mahal untuk dimiliki, dan saya berharap pihak berkuasa melakukan sesuatu untuk meringankan beban rakyat. Masih ramai lagi rakyat di luar sana yang tidak mempunyai rumah sendiri," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan membentangkan Bajet 2017 Jumaat depan telah menggesa orang ramai untuk berkongsi pandangan mereka dengan beliau berhubung bajet itu.

- Bernama

No comments:

Post a Comment