Monday, 31 October 2016

Penduduk Sudah Bosan Banjir Kilat Di Pulau Pinang



PULAU PINANG 30 Okt. - Sampai bila? Itu persoalan yang dilontarkan penduduk negeri ini selepas mereka sekali lagi terperangkap dalam bencana banjir kilat lewat petang semalam.

Luahan kecewa dan rasa tidak puas hati penduduk itu tidak tertahan lagi memandangkan sepanjang tahun ini sahaja, lebih 10 kali mereka terpaksa berdepan bencana tersebut.

Malah, sejak beberapa tahun lalu juga, mereka sentiasa hidup dalam kebimbangan dan perlu berjaga-jaga setiap kali hujan le­bat kerana bimbang keselamatan diri selain kerosakan harta benda.

Meskipun tidak melibatkan pemindahan mangsa banjir, serta tiada kemalangan jiwa akibat tanah runtuh dan pokok tumbang, namun bencana banjir kilat semalam boleh dianggap antara terburuk.

Ini kerana bencana itu menjejaskan lebih 1,000 penduduk yang menanggung kerosakan dan kemusnahan harta benda selain rumah dan kenderaan mereka ditenggelami banjir.

Lebih malang, bencana itu berlaku ketika kaum India sedang meraikan perayaan Deepavali dan ketika pelancong dari dalam dan luar negara sedang menghabiskan cuti hujung minggu di pusat bandar raya Georgetown.




Dalam kejadian petang semalam, kawasan pinggir Georgetown lumpuh sepenuhnya sehingga lewat malam selepas hujan lebat hanya dalam tempoh kira-kira tiga jam bermula pukul 4 petang hingga 7 malam.

Antara kawasan yang terjejas teruk termasuk ada yang ditenggelami separas pinggang adalah Jalan Masjid Negeri; Jalan Thean Teik; Kampung Dodol; Kampung Makam; Jalan Singgora; Jalan P.Ramlee; Jalan Air Terjun dan Jalan Makloom.

Turut terjejas adalah Jalan Gemas; Jalan Paya Terubong; Jalan Batu Gantung; Jalan Lumba Kuda; Jalan Datuk Keramat dan Jalan Terengganu.

Dalam pada itu, Jabatan Peng­airan dan Saliran (JPS) negeri memaklumkan, bencana tersebut berlaku disebabkan sistem perparitan yang tidak sistematik sehingga tidak boleh menampung limpahan air beberapa batang sungai ekoran hujan lebat.

Sehubungan itu, jabatan tersebut mencadangkan sistem saliran di setiap kampung dinaik taraf untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

“Selain itu, pihak jabatan juga telah menjalankan pemerhatian berterusan dalam kawasan pembangunan sekitar Paya Terubung kerana berisiko kepada kejadian banjir lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Gabungan Perwakilan Melayu Pulau Pinang (Gpem), Mohd. Rizuad Mohd. Azudin melahirkan rasa kecewa dengan kegagalan Kerajaan DAP Pulau Pinang bertindak segera dalam menyelesaikan masalah bencana banjir kilat di negeri ini.

Menurutnya, bencana itu terus menghantui dan menjadi mimpi buruk kepada penduduk di negeri ini meskipun selepas berulang-ulang kali kerajaan negeri didesak mengambil langkah pencegahan segera.

Katanya, penduduk tidak boleh terus dibiarkan menanggung risiko kerosakan serta kerugian harta benda serta kemungkinan berlakunya kemalangan jiwa daripada bencana banjir kilat yang dilihat semakin buruk.

“Penduduk sudah bosan kerana setiap kali hujan lebat, mereka terpaksa berdepan bencana ini yang menyusahkan kehidupan mereka.

“Mereka juga tertanya-tanya apa yang dilakukan Kerajaan DAP Pulau Pinang selama ini untuk menyelesaikan masalah ini kera­na bencana banjir kilat terus berlaku seolah-olah tiada langkah pencegahan diambil,” katanya.

No comments:

Post a Comment