Tuesday, 18 October 2016
Lim Guan Eng Harus Henti Ulangi Propaganda
KUALA LUMPUR 17 Okt. - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng harus berhenti mengulangi propaganda beliau bahawa Malaysia tersenarai sebagai negara paling korup di dunia ini.
Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng berkata, ini berikutan laporan Indeks Persepsi Rasuah bagi tahun 2015 yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) menunjukkan Malaysia berada di tangga ke-54 paling bersih daripada 168 negara.
“Walaupun TI tidak pernah memuji Pulau Pinang namun ia gagal menghentikan DAP daripada terus mengulangi kritikan ini sepanjang tujuh tahun lalu.
“Malah, sejak tahun 2013, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan yang kini merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut dijadikan mangsa kritikan daripada DAP,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa, terdapat beberapa perkara yang tidak dapat dinafikan antaranya Pulau Pinang mencatatkan kadar pertumbuhan per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang terendah selain perbelanjaan tahunan kerajaan negeri meningkat hampir empat kali ganda sejak tahun 2008.
“Kedudukan negeri itu menjunam daripada tempat pertama bagi pelaburan sejak tahun 2011 ke tangga keenam pada 2012 dan tempat kelima pada tahun lalu. Ini antara fakta-fakta yang tidak dapat dinafikan.
“Gerakan harap DAP dan Guan Eng tidak akan memusnahkan segala hasil usaha selama beberapa dekad lalu yang dilakukan oleh Gerakan dan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang walaupun DAP terus menafikan realiti dengan melakukan propaganda termasuk mengelirukan untuk menyembunyi keadaan sebenar yang mana kebanyakan rakyat di Pulau Pinang kini merasainya,” katanya.
Dalam pada itu, Teck Meng turut membidas ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming yang menyerang beliau melalui blognya berhubung dakwaan kadar pertumbuhan KDNK Pulau Pinang terendah berbanding semua negeri berdasarkan pengiraan pada 2007 dan tahun lalu.
“Kian Ming mempersoalkan mengenai pemahaman ekonomi saya dan mengapa menggunakan tahun 2007 sebagai asas berbanding tahun 2008. Saya hairan dengan soalan demikian.
“Menggunakan data penghujung tahun 2007, dengan lebih terperinci akan memberi gambaran kesan pemerintahan DAP di Pulau Pinang kerana dua bulan kemudian DAP telah mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.
“Jadi, jika kita mengguna pakai data penghujung 2008, maka ia akan mengabaikan pemerintahan DAP selama 10 bulan dan hanya mengambil kira data untuk tahun 2009 dan ke atas,” katanya sambil menyindir sekiranya, menggunakan data 2008 Pulau Pinang akan tersenarai di kedudukan keempat kadar pertumbuhan paling teruk berbanding semua negeri antara tahun 2009 sehingga 2015. - UTUSAN ONLINE
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment