Sunday, 23 October 2016

KPDNKK Pertimbang Beri Insentif Kepada Pemberi Maklumat


BAGAN DATOH, 23 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedia mempertimbangkan cadangan memberi insentif kepada pemberi maklumat berkaitan kenaikan harga barangan.

Timbalan Menterinya Datuk Henry Sum Agong berkata perkara itu akan dipertimbangkan sekiranya dirasakan perlu dilaksanakan pada masa akan datang.

Namun menurutnya, buat masa ini kementerian belum bercadang memberi insentif sedemikian kepada pemberi maklumat.

"Orang ramai digalakkan tampil ke hadapan memberi maklumat secara sukarela kerana ia memberi manfaat kepada pengguna supaya harga barangan dapat dikawal," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2016 di sini hari ini.

Sebanyak 18 jenis barangan disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali yang berkuat kuasa selama 14 hari dari 19 Okt hingga 1 Nov.

Henry berkata ketika ini 'Friends of KPDNKK' atau Skuad Pengguna, penghulu dan ketua kampung merupakan antara yang banyak membantu kementerian dalam memantau serta memberi maklum balas mengenai sebarang kenaikan harga barangan.

Beliau juga meminta orang ramai melaporkan kepada kementerian jika terdapat peniaga menaikkan harga barangan secara melampau terutamanya ketika menjelang musim perayaan.

Katanya pegawai penguat kuasa KPDNKK sentiasa berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk melakukan pemeriksaan dan pemantauan.

"Ini adalah tindakan berterusan dalam usaha melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan untung yang berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika terutamanya ketika musim perayaan.

"Peniaga perlu mematuhi arahan yang dikenakaan terhadap mereka dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna mestilah mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment