Fenomena air pasang luar biasa yang melanda kawasan pulau negeri ini menjadi tarikan kepada kaki pancing sejak dua hari yang lalu.
Salah seorang daripada mereka, Muhd Rizwan Awang, 34, berkata, rata-rata nelayan ataupun kaki pancing tidak berani ke laut kerana ombak besar.
“Jadi mereka akan memancing di tepi-tepi benteng dan sebagainya, antara lokasi popular termasuk di Padang Kota Lama dan bawah Jambatan Pulau Pinang.
“Memang ini tempat paling panas kerana katanya ada yang berjaya naikkan ikan kerapu dan juga sembilang,” katanya.
Muhd Rizwan bersama rakan-rakannya juga mengambil peluang memancing ikan di Padang Kota Lama bermula jam 11 pagi semalam.
Tambahnya, ikan akan bertambah banyak ketika air pasang, jadi tidak rugi sekiranya kaki pancing mencuba nasib.
“Kalau ada yang rajin datang, memang tak rugi, kadangkala boleh dapat lebih daripada lima ekor ikan
“Sudah tentu boleh jadi lauk untuk disimpan sekali gus duit belanja dapur pun akan jimat,” katanya.
Orang ramai berkumpul tunggu ombak tinggi
Tinjauan di Padang Kota Lama juga mendapati orang ramai menanti ombak tinggi seperti yang diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Pelancong dari Kuala Lumpur, Raidah Ibrahim, 26, berkata, dia mengetahui kejadian ombak tinggi berkenaan melalui akhbar.
“Saya dan keluarga memang tahu ombak di sini boleh melepasi sehingga ke paras tiang lampu, jadi kami nak tengok depan mata.
“Tapi sayang kerana ombak hari ini (semalam) tidaklah setinggi mana, tapi kami tetap seronok,” katanya.
Adun Pulau Betong, Muhamad Farid Saad juga memaklumkan ada nelayan yang berpatah balik akibat ombak besar.
“Pada hemat saya, nelayan-nelayan di sini sudah berpengalaman dan mereka tahu situasi di laut sekarang.
“Walau apa pun nasihat saya, sekiranya boleh elakkan dulu ke laut buat masa ini memandangkan fenomena ombak besar sedang berlaku,” katanya.
USM keluar amaran untuk mahasiswa
Penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) dinasihatkan supaya mengelakkan dari mengadakan sebarang aktiviti di sekitar kawasan yang boleh menimbulkan bahaya.
Ini adalah lanjutan dari ramalan dan amaran pihak berkuasa bahawa fenomena air pasang besar dijangka berlaku pada 15 hingga 19 Oktober 2016 di beberapa kawasan di Pulau Pinang dan Kedah.
Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Datuk Dr. Adnan Hussein berkata, dia meminta semua ketua jabatan, dekan dan pengarah di USM untuk menasihatkan pelajar masing-masing tidak berada di kawasan terlibat pada tarikh dan waktu yang diramalkan berlaku fenomena tersebut.
“Saya juga mohon kerjasama semua pihak agar memantau perkembangan ini secara berterusan malah turut menggembleng semua tenaga yang ada untuk memastikan keselamatan pelajar,” katanya.
Semua pihak juga boleh maklumkan ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEPA) USM sekiranya mempunyai sebarang maklumat dan pertanyaan.
No comments:
Post a Comment