Thursday, 20 October 2016
Dakwaan Tersasar.. GST Serlahkan Elemen Penting Ekonomi Negara
KUALA LUMPUR, 19 Okt – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya menyifatkan tanggapan songsang dan suara-suara yang mempertikaikan keupayaan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini terjawab setelah pelaksanaanya jelas menjadi penyelamat kepada ekonomi negara.
Menurut beliau perkara berkenaan yang diutarakan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak pada sesi soal jawab Parlimen jelas membuktikan segala tohmahan dan dakyah pembangkang selama ini bukan sahaja tersasar malah membuktikan bahawa ianya adalah salah satu elemen penting dalam ekonomi negara.
“GST merupakan salah satu elemen penting dalam membantu sumber pendapatan dan ianya adalah satu bentuk dana yang menyelamatkan ekonomi negara. Dalam keadaan apa pun kita kena terima hakikat bahawa semua negara menghadapi masalah naik turun prestasi ekonomi.
“Amerika Syarikat sendiri pernah mengalami keadaan sedemikian. Justeru dalam pada masa yang sama rakyat perlu faham bukan semua sumber komoditi atau pun sumber pendapatan negara seperti minyak dan sebagainya boleh kekal nilai harganya kerana ianya juga bergantung kepada keadaan ekonomi dunia selain turut bergantung kepada penawaran serta pemintaan dan faktor lain.
“Dalam senarai ini, hasil minyak kita telah pun mengalami susut nilai dan ianya menjejaskan sumber pendapatan negara menyebabkan pendapatan negara kita berkurangan dan GST adalah satu elemen yang membantu kerana hasil daripada GST dapat kita gunakan untuk kemudahan rakyat,“ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Kata beliau lagi rakyat dalam hal sedemikian perlu memainkan peranan dan bekerjasama dengan kerajaan untuk menjayakan pelaksanaan cukai tersebut supaya benar-benar memberi manfaat kepada semua.
“Ini adalah untuk kepentingan umum dan ianya tidak digunakan untuk kepentingan peribadi dan sebagainya lagi sebaliknya benar-benar untuk manfaat serta faedah rakyat semata-mata.
“GST adalah elemen yang digunapakai lebih 160 buah negara untuk mantapkan ekonomi negara masing-masing. Pada peringkat awal isu GST digunakan pembangkang dan ianya dimomokkan serta diperkecilkan dan seolah-olah nak tunjukkan kerajaan mengambil pendekatan yang salah.
“Namun setelah ianya berjalan hingga kini, kita telah nampak hasilnya menerusi pembangunan infrastruktur lebih baik, sistem persekolahan pelbagai, subsidi dalam kesihatan sebagainya dan itu adalah faedah yang dikecapi secara langsung dan tidak langsung oleh rakyat ,” ujarnya.
Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan GST menjadi penyelamat kepada situasi ekonomi negara. Perdana Menteri berkata, ekonomi negara akan lumpuh tanpa GST ketika ekonomi dunia merosot.
“(GST menyebabkan kemerosotan ekonomi domestik) adalah tafsiran pembangkang. Hakikatnya, GST adalah penyelamat ekonomi Malaysia.
“Tanpa GST, ekonomi negara akan lumpuh,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Liew Chin Tong (DAP-Kluang) pada sidang Dewan Rakyat semalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment