Saturday, 22 October 2016

Ahli Parlimen Pembangkang WAJAR Di Gantung


Semua pihak sedia maklum sesi pembentangan bajet 2017 petang semalam telah dicemari dengan insiden Ahli Parlimen pembangkang mengangkat plakad dan membuat bising seterusnya mengganggu pembentangan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Tindakan tersebut tidak berakhir disitu apabila kumpulan Ahli Parlimen yang terdiri daripada mereka yang mengaku bersama dalam Pakatan Harapan bertindak keluar dewan pada ketika sesi pembentangan masih berjalan.

Walaupun ramai dari kalangan Ahli Parlimen dan warga Malaysia yang mengikuti sesi pembentangan semalam mengecam tindakan tersebut sebagai tidak menghormati dewan , kumpulan terbabit langsung tidak menunjukkan tanda-tanda bersalah.

Perkara sebegini sebenarnya sering kali berlaku dan seluruh rakyat Malaysia sebenarnya sudah pun melihat sendiri bagaimana Ahli Parlimen dari pembangkang selama ini menghina kemuliaan dewan namun ramai dari kalangan mereka bebas untuk terus melakukannya.

Sesuatu yang perlu kita fahami adalah tindakan sebegini dan yang seangkatan dengannya mampu menyebabkan reputasi dewan rakyat terjejas seterusnya memberikan persepsi buruk tentang iklim politik tanahair khususnya kepada dunia luar.

Secara tidak langsung ianya akan menjadi penyebab kepada wujudnya kelemahan-kelemahan tertentu yang memungkinkan imej negara turut sama terjejas.

Realitinya sebagai seorang wakil rakyat dan Ahli Parlimen , seseorang itu haruslah menjaga tatasusila dan perlakuannya sewaktu berada di Dewan Rakyat kerana kehadirannya mewakili sebahagian daripada kerajaan Malaysia.

Malahan kehadiran Yang DiPertua Dewan seharusnya dihormati memandangkan kedudukannya jauh mengatasi ahli-ahli dewan yang lain.

Seperkara yang harus kita sama-sama fahami adalah terdapat peraturan dewan yang perlu dipatuhi oleh semua Ahli Parlimen yang bersidang dan peraturan-peraturan ini sebenarnya secara tidak langsung adalah digubal oleh kalangan mereka sendiri.

Maka jelas sebarang tindakan menghina dewan adalah penghinaan yang disedari oleh penghina tersebut seterusnya mereka juga tahu bahawa ia bersamaan dengan menghina Yang Dipertua Dewan !

Dalam konteks ini , kita wajar mengambil kira tindakan-tindakan yang pernah dikenakan terhadap Ahli Parlimen sebelum-sebelum ini kerana bertindak menghina sidang dewan atau pun menghina Yang DiPertua Dewan.

Contohnya Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran pernah digantung enam bulan daripada menghadiri mesyuarat Dewan Rakyat atas kesalahan menghina dewan dan Yang DiPertua Dewan Rakyat semasa mengadakan sidang akhbar di lobi Parlimen 2 tahun yang lalu.

Pada 2015 pula Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah digantung dari Dewan Rakyat setelah enggan memohon maaf dan menarik balik hinaannya terhadap Yang DiPertua Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Bayangkan dalam kes N. Surendran , beliau dikenakan penggantungan hanya kerana menghina dewan dalam sidang media di lobi Parlimen dan bukannya di dalam Parlimen manakala Kit Siang di gantung kerana menghina Yang DiPertua Dewan.

Yang berlaku semalam jauh lebih dasyat dari itu , kumpulan Ahli Parlimen pembangkang tersebut bukan sahaja menghina kemuliaan dewan tetapi mengganggu urusan dewan melibatkan pembentangan bajet yang mencakupi kepentingan negara dan rakyat.

Berdasarkan kepada semua diatas , rasanya amat wajar kesemua Ahli Parlimen pembangkang terbabit dikenakan tindakan yang paling keras bersesuaian dengan peraturan dewan memandangkan mereka bukan sahaja menghina dewan yang mulia dan kedudukan Yang DiPertua Dewan tetapi juga menghina serta menggangu urusan dewan melibatkan kepentingan negara dan rakyat.

Ini serius !

No comments:

Post a Comment