Sunday, 16 October 2016

10 kawasan di P.Pinang alami air pasang besar

BAYAN LEPAS - Pulau Pinang dijangka akan dilanda fenomena air pasang besar.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang, Kolonel (PA) Pang Ah Lek berkata, beberapa tempat sudah dikenalpasti termasuk di Kampung Nelayan Teluk Kumbar dan juga Permatang Pasir di Balik Pulau.

Menurutnya, penduduk dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya ketika berada di kawasan pantai.

“Nasihat kepada anak-anak kecil supaya tidak bermain air pada waktu sebegini dan simpan segala dokumen penting.

“Sekiranya ada barang hendak dipindahkan ke tempat lebih tinggi, lakukannya segera supaya tidak ada berlaku kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di pejabat APM Barat Daya di Bayan Lepas.

Ah Lek berkata, pihaknya juga bersiap sedia dengan beberapa bantuan termasuk 14 kenderaan dan 18 buah bot.

“Kami sudah menghubungi jabatan meteorologi dan dimaklumkan bahawa ramalan hujan adalah biasa sahaja, bukanlah luar biasa, dan jangkaan banjir besar itu tidak berlaku pada masa ini.

“Apa yang penduduk boleh lakukan hanyalah mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) dalam satu kenyataan telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bermula esok (15 Oktober).

Angin kencang barat laut dijangka melanda Pulau Pinang, Perlis dan juga Kedah.

Pada masa yang sama kejadian air pasang besar yang seringkali berlaku di negeri ini juga akan menyebabkan kenaikan paras air laut.

MET Malaysia turut menasihatkan orang awam supaya berjaga-jaga ketika berada di kawasan pantai selain mendapatkan maklumat terkini mengenai cuaca melalui laman web www.met.gov.my.

No comments:

Post a Comment