Thursday, 4 August 2016

JENAYAH BERAT : MENINGKAT ATAU MENURUN SELEPAS POCA?


Hari ini, masyarakat Malaysia dikejutkan dengan beberapa insiden tembakan dari jarak dekat dan beberapa jenayah berat lain. Sehingga bulan Julai tahun ini sahaja, 16 kes tembakan direkodkan di seluruh negara.

Di mana silapnya? Apa puncanya? Ia menjadi isu hangat untuk diperkata, dibincang dan didebatkan.

Pada 26 Ogos 2013 lalu, Penaung Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Ibrahim Sultan Ismail pernah menggambarkan Malaysia sebagai Bandar Koboi sekiranya jenayah melibatkan senjata api ini tidak dibendung.

Pada tahun itu, masyarakat dikejutkan dengan berita kematian Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim yang ditembak sewaktu dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, pada 26 April 2013.

Pegawai ketiga tertinggi dalam Kastam yang mengetuai Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri itu dipercayai diekori oleh dua suspek yang menaiki motosikal lebih kurang pukul 8 pagi di Lebuh Wawasan dari arah Dengkil.

Ia kemudiannya disusuli dengan beberapa lagi kejadian tembakan sehingga ada yang mengatakan Malaysia bukan lagi sebuah negara yang selamat untuk didiami.

Rasa takut masyarakat tidak dapat dibendung biarpun pada ketika itu kerajaan berhempas pulas menggubal undang-undang bagi mengekang kejadian jenayah daripada berlaku.

Jika sebelum ini Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menjadi tembok kepada tahap keselamatan negara. Namun wujud segelintir pihak terutamanya dikalangan parti pembangkang yang melabel ia sebagai satu akta zalim.

Kerajaan kemudiannya memperkenalkan beberapa akta lain bagi tujuan sama iaitu memantap serta mengukuhkan benteng keselamatan negara. Antaranya, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 (pindaan 2013), Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau SOSMA.

Tetapi, ia masih lagi dilabel sebagai akta zalim. Antara pemimpin yang sering mengkritik soal akta-akta ini ketika ia melalui proses penggubalan undang-undang ialah V Sivakumar, Ahli Parlimen Batu Gajah mewakili parti DAP.

Tulisan beliau di dalam ruangan pendapat dan disiarkan portal The Malay Mail Online pada 28 Oktober 2015 menyebut :

"Saya telah bertanya soalan lisan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung perkara ini. Soalan saya berbunyi seperti berikut:

“...menyatakan jumlah kes yang ditangkap dan disiasat bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sejak undang-undang itu dipinda pada 2013. Nyatakan juga jenis-jenis jenayah berat
yang telah disiasat bawah akta ini dan tindakan-tindakan yang telah diambil.”

Jawapan Kementerian Dalam Negeri (pada 27 Oktober 2015) :

“Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia, semenjak pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dikuatkuasakan mulai 2 April 2014 hingga 1 Oktober 2015, seramai 975 orang telah ditangkap dan disiasat bawah POCA.

“Di antara jenayah berat yang telah disiasat bawah Akta ini adalah jenayah kongsi gelap, jenayah kekerasan, jenayah harta benda, dadah, pelacuran, perjudian dan penyeludupan migran.

“Seterusnya, tindakan-tindakan yang telah diambil terhadap mereka yang ditangkap adalah seramai 143 orang dikenakan Perintah Tahanan, 480 orang dikenakan Perintah Pengawasan Polis dengan 68 orang daripadanya dikenakan syarat pemakaian peranti pengawasan elektronik (EMD) yang mula digunapakai mulai 3 Ogos 2015, 28 orang telah dituduh di mahkamah, 131 orang telah dibebaskan selepas siasatan dijalankan, manakala baki seramai 193 orang masih lagi ditahan untuk siasatan lanjut.”

Dalam masa sama, V Sivakumar tetap menegaskan bahawa POCA adalah undang-undang yang zalim kerana tidak memberikan peluang pembelaan kepada orang kena tangkap.

Berbeza sekali dengan pendapat pihak yang berada dilapangan. Di dalam hal ini, ia merujuk kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan undang-undang sedia ada seperti POCA, POTA dan SOSMA sudah memadai untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan negara.

Namun, kejadian-kejadian jenayah berat ini seakan tiada akhirnya. Ia terus berlaku dan kelihatan semakin menjadi. Menggerunkan, kes tembakan misalnya berlaku di tempat awam dan dikhalayak ramai.

Berikut merupakan kejadian tembakan yang direkodkan sepanjang tahun 2016 setakat bulan Julai.

25 Januari, KUALA LUMPUR :
Seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tembakan, dipercayai ditembak dari jarak dekat di Jalan Jinjang pada pukul 2.10 petang. Mangsa dikenali sebagai S. Surya Kumar, 41, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di tempat duduk pemandu kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton.

11 Februari, PULAU PINANG :
Seorang ahli perniagaan maut ditembak dari jarak dekat di hadapan sebuah kedai motosikal berkuasa tinggi di Jalan Datuk Keramat pada pukul 3.30 pagi. Syed Amen Jainul Abdin yang merupakan pemilik restoran nasi kandar dan kedai mencuci kenderaan ditemukan berlumuran darah dalam kereta yang dipandunya.

28 Februari, SELANGOR :
Seorang pengawal keselamatan maut manakala seorang pemandu lori cedera parah selepas ditembak suspek yang menaiki sebuah motosikal dalam kejadian pukul 4.40 pagi berhadapan sebuah stesen minyak Petron, Jalan Semenyih Kajang. Mangsa yang berumur 45 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.

25 Mac, SELANGOR :
Seorang pengawal peribadi kepada ahli perniagaan cedera parah selepas ditembak dua lelaki yang menaiki dua kereta berasingan di bulatan berhampiran pekan Charterfield, Pusat Komersial KLIA di Sepang dalam kejadian pukul 8.45 malam. Ketika kejadian, pengawal peribadi berkenaan memandu kereta jenis Mercedes Benz menuju ke terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 dan didatangi dua lelaki yang melepaskan beberapa das tembakan.

15 April, SABAH :
Dua lelaki terbunuh selepas ditembak dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di Jalan Kolam, dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi. Mangsa yang maut dikenali sebagai Hii Lam King, 36, dan Ting Wen Hou, 23, kedua-duanya berasal dari Sibu, Sarawak namun menetap di Sabah. Ketika kejadian, Hii yang memandu kenderaan pacuan empat roda dikatakan dalam perjalanan balik dari menghantar anaknya ke sekolah.

20 April, KUALA LUMPUR :
Seorang lelaki maut ditembak polis, sementara teman wanitanya bersama dua lagi rakan mereka ditahan di Jalan Kilang 51/A, di Kuala Lumpur pada awal pagi. Keempat-empat individu terbabit dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun dan curi kenderaan di sekitar Lembah Klang. Semasa pemeriksaan itu, lelaki yang memandu kereta Proton Perdana itu cuba melarikan diri dan merempuh kenderaan polis termasuk anggota bermotosikal. Anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah pemandu terbabit bagi mempertahankan diri menyebabkan dia terbunuh di tempat kejadian.

21 Jun, SELANGOR :
Dua lelaki 30 dan 34 tahun yang memandu kereta berasingan cedera ditembak dari jarak dekat di persimpangan jalan besar Sunway Batu Caves ketika sedang menunggu di persimpangan lampu isyarat pada pukul 12 tengah hari.

21 Jun, SARAWAK :
Setiausaha PKR Cawangan Miri, Bill Kayong, 43, ditembak ketika berada di dalam kenderaan pikap Toyota Hilux di persimpangan lampu isyarat di Lutong, Miri pada pukul 8.30 pagi. Calon PKR di kawasan Bekenu pada pilihan raya negeri 7 Mei lalu itu meninggal dunia di tempat kejadian.

29 Jun, SELANGOR :
Seorang suspek utama kes tembak dua lelaki di Sunway Batu Caves pada 21 Jun, ditembak mati oleh polis di kawasan perumahan USJ 11/1D pada pukul 12.10 tengah hari. Ketika polis memperkenalkan diri, suspek berusia 37 tahun itu cuba mengacukan pistol ke arah anggota menyebabkan polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan yang mengenai badan suspek.
Seorang pengurus besar syarikat swasta berusia 40 tahun cedera parah ditembak individu yang menaiki motosikal ketika memandu kereta di Lebuhraya Utara Selatan dekat Desa Petaling pada pukul 8.40 pagi.

6 Julai, KUALA LUMPUR :
Seorang ejen hartanah wanita berusia 32 tahun maut di tempat kejadian manakala seorang anaknya cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka ditembak dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang di Jalan Hujan Emas 4, Taman OUG. Setakat ini polis telah menahan sembilan suspek berhubung kes itu.

9 Julai, PERAK :
Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tembakan di bahagian kepalanya di Teluk Kulat, Pulau Banding, Perak. Polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat Khairul Azizan Zaidi, 29, pada 7.20 pagi daripada seorang lelaki berumur 24 tahun yang juga rakan mangsa.

11 Julai, JOHOR :
Seorang peniaga nyaris maut apabila dipercayai diserang dua penjenayah yang melepaskan beberapa das tembakan dalam kejadian di hadapan rumahnya di Taman Seri Fajar, dekat Batu Pahat pada pukul 10 malam.

13 Julai, PULAU PINANG :
Empat sekeluarga mati ditembak, dipercayai oleh anggota keluarga sendiri menggunakan senjata tidak berlesen, di sebuah kilang pemprosesan ayam di kawasan perindustrian Batu Maung Pulau Pinang pada pukul 2.55 pagi. Polis turut menemukan 11 kelongsong peluru di tempat kejadian.

14 Julai, PULAU PINANG :
Polis menembak mati suspek tunggal kes tembakan, Chung Chun Wah, 32, yang dikehendaki kerana membunuh empat sekeluarga di Batu Maung awal pagi 13 Julai, selepas insiden berbalas tembakan antara suspek dan polis berhampiran pasar Air Itam kira-kira pukul 7 malam.

26 Julai, KUALA LUMPUR :
Tiga lelaki berusia lingkungan 51 dan 58 tahun nyaris maut apabila kenderaan Toyota Fortuner yang dinaiki mereka ditembak kumpulan lelaki tidak dikenali dalam kejadian cubaan samun di susur Lebuh Raya Elite menghala ke Putrajaya pada pukul 9.30 pagi. Ketika kejadian ketiga-tiga lelaki itu sedang dalam perjalanan menghantar seorang lagi rakan mereka bersama sejumlah wang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), Sepang.

27 Julai, KUALA LUMPUR :
Seorang lelaki berusia 43 tahun maut ditembak di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota/Jalan Genting Klang di sini ketika memandu kereta jenis Honda Accord dalam kejadian pukul 3.35 petang.

Di mana mereka memperolehi senjata api dan kenapa mereka semakin berani melakukan jenayah?

Persoalan ini mungkin sukar untuk dijawap. Jika dijawab sekalipun, ia barangkali lahir daripada pelbagai pendapat berbeza. Bukan soal menuding jari untuk menyalahkan sesiapa.

Namun masyarakat sewajarnya bersama-sama memainkan peranan penting di dalam perkara ini. Tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada' seharusnya disemat ke jiwa setiap anggota masyarakat supaya jenayah waima berat mahupun ringan dapat dibendung secara habis-habisan.

#JenayahBerat #SenjataApi #KesTembak #CegahJenayah #POCA #POTA #SOSMA #NegaraBerdaulat

No comments:

Post a Comment