Tuesday, 28 June 2016
Rakyat terus keliru perbezaan kos projek terowong dasar laut di Pulau Pinang
GEORGETOWN - Gerakan Pulau Pinang hari ini menggesa kerajaan negeri pimpinan DAP supaya menyatakan kos sebenar projek terowong dasar laut yang didapati mempunyai dua jumlah berbeza.
Pemangku ketua pemudanya, Jason Loo, berkata, kerajaan menyatakan projek itu berharga RM3.7 bilion, tetapi laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) pada 2015 menunjukkan kosnya ialah RM3.5 bilion.
"Bagaimana boleh ada dua harga bagi satu projek. Siapa yang hendak dipercayai, kerajaan negeri atau laporan PAC?
"Bagaimana mereka (kerajaan negeri) boleh terus menyebut RM3.7 bilion, sedangkan dalam laporan PAC, kosnya adalah berbeza. Dokumen ini sangat penting," katanya
Loo berkata, baki RM200 juta lagi boleh digunakan untuk membina 4,762 unit rumah kos rendah untuk manfaat lebih 15,000 orang.
"Mungkin, bagi kerajaan negeri, jumlahnya tidak penting, tetapi mereka boleh membantu rakyat Pulau Pinang, terutama golongan muda, untuk memiliki rumah setiap seorang," katanya.
Oleh demikian, Loo meminta kerajaan negeri pimpinan DAP itu menyatakan kos sebenar projek berkenaan.
Projek terowong dasar laut yang dicadangkan itu akan menghubungkan Jalan Pangkor di bahagian pulau dengan Bagan Ajam di Seberang Perai, manakala tiga pakej lebuh raya berkenaan pula ialah Jalan Pantai Utara (menghubungkan Tanjung Bungah dan Teluk Bahang), pintasan dari Air Itam ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu dan pintasan dari Gurney Drive ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu bernilai RM6.3 bilion. - BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment