BUKIT BENDERA – Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim membidas sikap Lim Guan Eng yang disifatkan sebagai ‘orang bisu bermusim’ dan hanya bersuara apabila merasakan sesuatu isu itu memberi kelebihan kepadanya.
Jelasnya, Ketua Menteri Pulau Pinang itu akan mula bersuara lantang sekiranya ada isu yang boleh digunakan untuk menghentam kerajaan atau memberi kelebihan politik kepada parti Dap.
“Inilah cara Guan Eng berpolitik. Ada musim dia jadi orang bisu, ada musim dia tak henti-henti bersuara. Dia akan membuat kenyataan terhadap hal yang tidak ada kena mengena secara langsung dengannya. Tetapi bila perkara yang melibatkan peribadi, salah laku dan kepimpinannya, seperti tuduhan rasuah dia akan terus mengunci mulut dan mengalihkan isu.
“Rakyat negeri ini sebenarnya sudah masak dengan sikap Guan Eng. Rakyat juga sebenarnya masih menunggu jawapan daripada banyak persoalan yang dikemukakan,”
Tambah Rafizal, Guan Eng seharusnya bersuara lantang menjawab persoalan berkaitan kos terowong dasar laut, pembelian banglo di Jalan Pinhorn, tanah Taman Manggis dan banyak lagi termasuklah isu pembinaan rumah mampu milik.
Sebelum ini Guan Eng mendakwa telah membina 11,596 rumah kos rendah dan sederhana berharga antara RM42 ribu hingga ke RM72 ribu dan daripada jumlah tersebut, 3,421 buah rumah telah dibina oleh kerajaan dan selebihnya oleh pihak swasta.
Namun sehingga kini lokasi perumahan terbabit dibina masih tidak dapat ditunjukkan dan ianya menjadi persoalan yang harus dijawab.
“Mengapa semua isu ini dia kunci mulut serapat-rapatnya malah semua exco juga berdiam diri. Tetapi isu lain boleh pula dia bersuara dan mengeluarkan kenyataan.
“Sikapnya ini langsung tidak menggambarkan kredibilitinya sebagai seorang ketua menteri. Jika dulu dia begitu lantang bersuara menghentam kerajaan berkaitan isu 1MDB, derma RM2.6 bilion, dan banyak lagi…
“… sekarang dia juga kena berani menjawab bila dirinya dipersoalkan. Bukan hanya pandai pertikai orang lain tetapi bila kena batang hidung menyorok dalam selimut,” bidas Rafizal.
Justeru beliau juga mahu agar rakyat Pulau Pinang menilai sebaik mungkin sikap Guan Eng yang jauh daripada slogan mereka iaitu CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus).
“Individu sebegini sebenarnya tidak layak untuk diangkat sebagai pemimpin bagi membela nasib rakyat”, ujarnya.
No comments:
Post a Comment