Friday, 10 June 2016
Pas, Pan Dan Pen Lambang Kecelaruan Lawan BN Di Kuala Kangsar
KUALA KANGSAR, 10 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, Pas, Pan dan Pen (logo calon Bebas) adalah satu manifestasi lambang kecelaruan lawan Barisan Nasional (BN) di Kuala Kangsar.
Jelasnya, Pan yang dahulunya sebahagian daripada Pas kini bertembung sesama sendiri dengan bekas partinya.
Dek kerana kecelaruan itulah tambah beliau maka tidak hairan apabila rakyat khususnya di Kuala Kangsar sudah mula hilang keyakinan kepada pembangkang apatah lagi kepada calon Bebas.
“Ini terbukti apabila ceramah Pan setakat ini tidak mendapat sambutan dan ceramah-ceramah Pas pun dingin.
“Calon Bebas pula diselar apabila mempertikaikan kemampuan golongan wanita menjadi pemimpin. Ini semua bukti betapa celarunya lawan BN di Kuala Kangsar,”
Oleh itu kata beliau, rakyat terutama pengundi di Kuala Kangsar harus memikir dan menilai siapakah yang lebih layak untuk dijadikan pemimpin mereka bagi menggantikan tempat allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Tambahnya lagi, rakyat perlu memilih sama ada ingin memilih BN sebagai sebuah parti yang kukuh atau parti yang mempunyai banyak konflik dan isu.
“Kita lihat apa jadi kepada mereka pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu. Kini di PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar mengesahkan lagi wajah sebenar mereka.
“Jika urusan dalam partipun mereka tidak boleh bersepakat, bagaimana mereka mahu menggalas dan membela nasib rakyat. Apa yang mereka tahu adalah memburukkan kerajaan pimpinan BN sedangkan mereka sendiri jauh lebih teruk terpalit kotoran,” jelasnya lagi.
Zainal juga menasihati para pengundi jangan mudah terpengaruh sekiranya kempen pembangkang masih menggunakan isu lapuk untuk berkempen seperti isu GST ataupun 1MDB.
“Pengundi di sini juga harus menjadikan Pulau Pinang sebagai contoh. Rakyat di negeri Pulau Pinang menderita dengan sikap kepimpinan Dap yang sama sekali tidak membela nasib mereka.
“Janji pilihan raya juga tidak mereka tunaikan. Bagi pembangkang, janji hanyalah sekadar janji dan tidak semestinya ditunaikan.
“Ini berbeza dengan BN yang sentiasa mengotakan janji. Janji kita adalah janji yang boleh dipercayai malah telah terbukti dan tidak boleh dipertikaikan,” jelas Zainal seterusnya.
Ulasnya lagi, pembangkang sebenarnya telah gagal sama sekali membuktikan kredibiliti mereka apatah lagi mahu membuktikan mereka jauh lebih baik daripada BN.
Dap contohnya gagal membuktikan mereka adalah parti untuk semua kaum manakala PKR pula semakin hilang punca sejak pemimpin mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.
“Jika hendak mengharapkan kepada Pan pula, masih tidak ada satupun lagi bukti parti tajaan Dap ini mampu membawa kepada kebaikan. Pas pula terus tenggelam punca apabila sebahagian pemimpin mereka keluar dan menubuhkan parti baru yang menentang mereka.
“Jika mahu memilih Bebas pula, tiada satupun sandaran yang boleh diyakini terhadap calon ini…selalu calon Bebas ini bukan sahaja kalah malah hilang deposit”, katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment