Wednesday, 25 May 2016

Kerajaan P.Pinang Diminta Guna Kembali Kaedah Lama Dalam Penyediaan Tapak Projek Sekolah


GEORGE TOWN, 24 Mei – Kerajaan Dap Pulau Pinang hari ini diminta mengguna pakai semula kaedah lama penyediaan tapak projek sekolah di negeri ini, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu meneruskan kaedah lama iaitu pemaju yang menyediakan tapak sekolah rendah dan sekolah menengah di sesuatu kawasan projek perumahan perlu menyerahkan tapak itu kepada Kementerian Pendidikan.

“Maka secara automatik mereka (pemaju) boleh menyerahkan tapak itu kepada Kementerian Pendidikan yang bertanggungjawab menyediakan sekolah-sekolah seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Bagaimanapun, katanya, kaedah yang digunakan kerajaan negeri pada masa ini adalah berbeza apabila pemaju perlu menyerahkan tanah projek sekolah kepada kerajaan negeri dan bukannya kerajaan yang bertanggungjawab mengenai pendidikan.

“Dahulu pemaju serah kepada kerajaan persekutuan atau Kementerian Pendidikan tapi mulai tahun 2009, berdasarkan keputusan Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) ia perlu diserah kepada kerajaan negeri.

“Ini mendatangkan masalah kerana pendidikan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan manakala tanah yang diserah oleh pemaju itu diserahkan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Sehubungan itu, Zainal Abidin berkata pihaknya berharap isu itu dapat diselesaikan dengan baik dan rundingan dapat dijalankan antara kerajaan
persekutuan dan kerajaan negeri mengenai sekolah-sekolah yang perlu dibina di Pulau Pinang.

“Kami bimbang akhirnya nanti dalam jangka masa panjang, rakyat Pulau Pinang tidak dapat hak untuk pendidikan kerana tanah yang ada mungkin tidak akan dibuat sekolah seperti yang diminta oleh Kementerian Pendidikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment