Sunday, 29 May 2016
Detik-detik cemas sekeluarga semasa batu besar menghempap kereta mereka..
BALIK PULAU - Sebuah keluarga dari Johor yang sedang bercuti di negeri ini, berdepan suasana cemas apabila kereta mereka ditimpa batu besar di Jalan Tun Sardon, di sini hari ini.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Balik Pulau berkata, dalam kejadian kira-kira 2 petang itu beberapa ketulan batu besar tiba-tiba jatuh dari lereng bukit di jalan berkenaan sebelum menimpa bahagian kiri hadapan kereta mangsa.
"Bagaimana pun semua mangsa dalam kereta berkenaan selamat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya kejadian itu juga menyebabkan kesesakan trafik sejauh satu kilometer di kedua-dua arah jalan berkenaan. Sementara itu, mangsa yang enggan dikenali berkata dia, isteri serta dua anaknya dalam perjalanan untuk menikmati durian bersama sahabat mereka di Balik Pulau.
Beliau yang ditemui di tempat kejadian berkata dia terlihat batu besar itu terjatuh ke arah keretanya namun tidak sempat mengelak.
Sementara itu, pihak Jabatan Kerja Raya yang berada di tempat kejadian memaklumkan akan melakukan kerja-kerja kecemasan untuk mengelakkan batu-batu lain jatuh ke atas jalan raya. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment