Tuesday, 5 April 2016
Seorang lelaki maut selepas ditikam ketika makan
Georgetown: Seorang lelaki maut selepas ditikam pesakit mental ketika sedang makan di sebuah restoran di Gat Lebuh Maccalum, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa Lim Cheong Wah, 58, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Difahamkan, mangsa ketika itu sedang makan sebelum dia didatangi seorang lelaki yang menikam belakang badan mangsa secara tiba-tiba.
Orang ramai yang terkejut dengan kejadian itu kemudian terus menahan lelaki terbabit yang kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Suasana pilu turut dilihat berlaku di lokasi kejadian apabila seorang wanita yang dipercayai isteri mangsa cuba mententeramkan keadaan suaminya yang ketika itu masih bernyawa.
Dengan keadaan pisau yang masih melekat di belakang badannya, lelaki berkenaan hanya mampu merintih menahan kesakitan sebelum petugas hospital tiba dan memberikan rawatan kepadanya.
Dia kemudian dibawa untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di di Hospital Pulau Pinang (HPP) .
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 42 tahun datang secara tiba-tiba dan menikam belakang badan mangsa.
"Polis berjaya menahan suspek di lokasi kejadian dan siasatan awal mendapati dia mempunyai masalah mental.
"Pemeriksaan juga mendapati suspek tidak mengenali mangsa dan polis kini menahannya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Mayat mangsa dihantar ke HPP dan akan dilakukan bedah siasat pagi ini," katanya.-HM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment