Wednesday, 6 April 2016
Jelaskan isu bukan ajak minum kopi lagi..
Setiausaha Agung Parti Gerakan, Liang Teck Meng menempelak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP kerana cuba mengalih fokus isu penjualan tanah Taman Manggis dengan menolak pendedahan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Selasa pagi.
Ini kerana kata Teck Meng yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, adalah mustahil untuk seorang menteri mendedahkan benda dan butiran maklumat yang tidak berasas. Bukti penjanjian jual beli (S&P) antara Kuala Lumpur International Dental Center Sdn Bhd (KLIDC) dengan pihak ketiga yang dikemukakan menteri katanya, telah bersetem dan mempunyai tandatangan saksi seorang peguam.
Sebaliknya, Teck Meng mendakwa Guan Eng hanya menjadikan alasan untuk mendakwa tidak tahu bahawa KLIDC telah menjual tanah itu kepada pihak ketiga berasaskan siasatan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) masih menunjukkan KLIDC sebagai pemilik tanah itu.
Teck Meng bagaimanapun menegaskan bahawa tindakan Guan Eng itu kerana kerajaan DAP Pulau Pinang tidak boleh dan tidak mahu menjawab pendedahan terbabit.
Menurutnya, pendedahan yang dibuat bukan bersifat serangan peribadi atau cubaan memburuk-burukkan imej Guan Eng dan DAP. Sebaliknya, pendedahan itu bertujuan mendapatkan penjelasan daripada Guan Eng dan kerajaan negeri DAP Pulau Pinang yang kononnya mengamalkan pentadbiran ‘Bersih, Tepat dan Telus (CAT)’.
Sehubungan itu, beliau mendesak Guan Eng untuk tidak cuba berselindung di belakang anggota exco kerajaan negeri sebaliknya bersikap gentleman menjawab isu itu untuk dinilai rakyat lantaran selama ini sentiasa mendakwa dirinya ‘cleaner than clean’ serta ‘Whiter than white’.
“Guan Eng perlu menjawab secara jelas dan tidak cuba mengelirukan rakyat, bukannya cuba menyelesaikan isu sebegini menerusi pelawaan sesi minum kopi,” sindirnya.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Setiausaha Agung DAP itu menolak pendedahan bahawa tanah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Manggis telah dijual kepada pihak ketiga dengan nilai RM 70.6 juta selepas membelinya dari kerajaan DAP Pulau Pinang pada nilai RM11 juta.
Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bersama Teck Meng sewaktu membuat pendedahan itu menjelaskan tindakan pihaknya bersama parti Gerakan bukanlah satu tindakan yang keterlaluan sebaliknya pembelaan kepada 30,000 penduduk Pulau Pinang yang dinafikan hak memiliki kediaman mampu milik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment