Tuesday, 26 April 2016

Pengedar Dadah Ditahan Di Kebun Sawit Di Kinabatangan


KINABATANGAN, 26 April (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia disyaki pengedar dadah dan merampas 5.99 gram syabu dalam serbuan di kawasan kebun sawit persendirian di Kampung Perpaduan dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt A. Sahak Rahmat berkata ketika ditahan lelaki berusia 36 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Katanya serbuan dilakukan pada pukul 4.02 petang oleh polis Bahagian Narkotik hasil maklumat awam mengenai aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di sebuah pondok di kebun sawit itu.

Pemeriksaan ke atas lelaki itu menemui empat paket plastik berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu, katanya dalam kenyataan, Selasa.

Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah.

Menurutnya lelaki itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39a(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment