Wednesday, 27 April 2016

PEMBANGUNAN INDUSTRI DAN EKONOMI SARAWAK YANG MENYELURUH, ANTARA JANJI BN


Pelan pertumbuhan ekonomi yang menyeluruh seperti dijanjikan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Sarawak akan terus meletakkan negeri itu pada landasan pembangunan dalam tempoh yang lebih cepat.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak, Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg berkata manifesto BN itu telah memberi penekanan dalam mewujudkan persekitaran perniagaan kondusif untuk pelaburan dan keusahawanan.

“Saya gembira bidang pengindustrian diberi penekanan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

“Ini terutamanya disebabkan Sarawak masih ketinggalan dalam banyak bidang namun negeri ini amat bertuah dengan kekayaan sumber yang masih belum diterokai,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Adenan semalam melancarkan manifesto BN Sarawak 2016 merangkumi 15 teras utama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), 7 Mei ini.

Abang Abdul Karim berkata pelaburan langsung asing (FDI) di Sarawak adalah kedua tertinggi selepas Johor di Malaysia dan ini menunjukkan pelabur sedang melihat negeri itu.

Sarawak mencatatkan FDI bernilai RM9.6 bilion dan RM11.8 bilion masing-masing pada tahun 2014 dan 2015.

“Secara keseluruhan, saya gembira bahawa BN memberi tumpuan dalam memajukan negeri ini dan harap ini akan diterjemahan dalam bentuk sokongan oleh rakyat kerana ini adalah demi kemakmuran penduduk negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Sarawak, Tony Ong berkata kandungan manifesto itu merujuk kepada usaha memperkasa rakyat Sarawak, bermula dari sudut memelihara hak mereka sehingga kepada pembangunan berbentuk fizikal.

Katanya, perkara-perkara yang disenaraikan dalam manifesto itu dengan mudah dapat memikat hati rakyat kerana ia dilihat bagaikan cerminan hati dan aspirasi seluruh penduduk Sarawak tanpa mengira kaum dan bangsa.

Beliau berkata manifesto ini akan menjadi ‘kad penilaian’ baharu untuk dinilai oleh rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Bagi Naib Presiden Sarawak Women for Women Society, Ann Teoh pula tertarik kepada isu berkaitan usaha meningkatkan penyertaan kaum wanita dalam aktiviti sosio-ekonomi.

Beliau berkata usaha tersebut memerlukan komitmen yang lebih berbentuk fizikal seperti penyediaan peluang dan infrastruktur yang lebih lengkap.

Presiden Persatuan Dayak Miri, Serawa Budol pula berpendapat manifesto itu dilihat meletakkan kepentingan rakyat Sarawak sebagai agenda utama.-tv14

No comments:

Post a Comment