Wednesday, 27 April 2016

Jangan Terpedaya Helah Pembangkang Mahu Nafikan Majoriti BN - Adenan


KUCHING, 26 April (Bernama) -- Pengundi diingatkan tidak terpedaya dengan helah pembangkang dan dakwaan mereka yang hanya mahu mengurangkan majoriti Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri akan datang kerana akhirnya rakyat negeri ini mungkin akan menjadikan mereka dapat membentuk kerajaan.

Peringatan itu diberikan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, sambil berkata bahawa jika pembangkang hanya mahu mengurangkan majoriti BN, mereka tidak akan bertanding begitu banyak kerusi.

"Jika anda memberi respons terhadap ini, akhirnya anda mungkin mendapati mereka sebagai kerajaan. Jika itu berlaku, kita akan dikuasai oleh parti dari Semenanjung," kata Adenan kepada media selepas taklimat di sini, malam ini.

Beliau berkata terdapat kemungkinan yang 'menakutkan' bahawa Sarawak akan dikuasai oleh parti-parti bukan berasal dari negeri ini.

Mengenai 36 calon Bebas yang bertanding pada pilihan raya kali ini, Adenan menyifatkan mereka sebagai 'pengacau' dan tidak akan diterima ke dalam BN walaupun mereka menang.

Beliau berkata keputusannya meletakkan calon langsung mungkin menyebabkan segelintir anggota BN bertanding sebagai calon Bebas selepas kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon BN.

"Saya minta maaf kerana saya tidak boleh memuaskan hati semua orang (apabila membuat keputusan mengenai calon langsung). Jangan mengharapkan saya untuk meletakkan malaikat sebagai calon. Mereka (calon) semua mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing," katanya.

Adenan turut mengakui bahawa beliau terkejut dengan keputusan Anggota Majlis Tertinggi PBB, Watson Bangau Jonathan Renang untuk bertanding sebagai calon Bebas.

Berikutan keputusan itu, Watson Bangau dipecat daripada parti itu semalam.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment