Tuesday, 8 March 2016

Masa Depan Penduduk Foreshore Tidak Menentu.


GEORGE TOWN, 7 Mac (Bernama) -- Penduduk di Kampung Foreshore di Jalan C.Y Choy di sini berdepan masa depan yang tidak menentu apabila rumah mereka dijangka dirobohkan untuk pembangunan tanpa sebarang notis bayaran pampasan yang jelas.

Tay Kooi Chooi, 54, yang sudah lebih 50 tahun tinggal di situ, berkata sesetengah penduduk mendakwa pemaju projek mengatur pertemuan secara individu dengan pemilik rumah dan ada di antara mereka telah menandatangani perjanjian pampasan.


Beliau berharap pemaju atau peguam yang dilantik, akan berbincang dengan semua penduduk secara terbuka mengenai panduan yang jelas berhubung pampasan kerana ia membabitkan lebih 100 keluarga.

"Saya dimaklumkan kami perlu berpindah pada akhir bulan ini tetapi kami tidak mendapat sebarang notis perpindahan dan tidak pasti dengan maklumat yang ada," katanya kepada pemberita selepas sidang media Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tanjong, Oh Tong Keong di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Ch'ng Lay Choo, 63, seorang suri rumah berkata beliau berharap mereka akan diberi masa sehingga akhir Mei nanti supaya dapat menjalankan upacara keagamaan 'Cheng Beng' terakhir di situ sebelum berpindah.

"Saya harap kami akan diberi lebih masa sebelum berpindah. Mengenai pampasan, saya harap pemilik rumah di sini akan diberikan satu unit dalam projek baharu itu," katanya.

Penduduk di situ juga mendakwa rintihan mereka tidak dipedulikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Lau Keng Ee.

Sementara itu, Oh turut menggesa ADUN itu untuk tampil membantu penduduk di situ kerana ramai di antara mereka mendakwa sukar menemuinya.

Katanya BN Tanjong akan menghantar surat kepada pemaju projek bagi mendapatkan penjelasan mengenai bayaran pampasan serta menunda tarikh perpindahan sehingga akhir Mei nanti.

"Pemaju juga perlu memberi penjelasan bila penduduk akan menerima bayaran perpindahan sekali sebanyak RM1,500 dan sewa bulanan minimum RM700, kerana ramai penduduk di sini adalah daripada keluarga miskin," katanya.

Tinjauan Bernama di pejabat pemaju mendapati projek yang dikenali sebagai Sandiland Foreshore itu adalah usahasama dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan kerja pembinaan dijangka bermula awal tahun depan.

Projek itu membabitkan apartmen kos sederhana dan mampu milik merangkumi 800 unit dan dijangka siap pada tahun 2020.

Sementara itu, Exco Perumahan Negeri, Jagdeep Singh Deo ketika dihubungi meminta penduduk kampung berkenaan datang berbincang dengannya supaya kerajaan negeri dapat mencari jalan penyelesaian berhubung perkara berkenaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment