Tuesday, 1 March 2016

Kompleks Datuk Kailan Kini Sepi


KEPALA BATAS - Bangunannya indah menghiasi di tengah-tengah pekan lama Kepala Batas. Dahulunya bangunan yang dikenali sebagai Kompleks Perniagaan Datuk Kailan ini merupakan nadi bagi penduduk di sini.

Bermula dari kain tenunan songket sehinggalah kepada barangan keperluan harian, ia menjadi tumpuan penduduk untuk mendapatkan barangan terutamanya pakaian apabila menjelangnya Hari Raya Aidilfitri.




Namun, kini Kompleks Perniagaan Datuk Kailan ini seolah-olah dipandang sepi dan serinya hilang sedikit demi sedikit.

Tinjauan Sinar Harian ke kompleks ini secara langsung membawa suara hati beberapa peniaga.

Abdullah Ahmad, 68, berkata keadaan kompleks ini tidak semeriah dahulu lagi.

“Kalau dulu ramai pelanggan yang datang, tapi sekarang dah tak ada. Kalau ada pun sekadar ambil tempahan baju dan itu pun hanya pelanggan tetap.

“Ada yang kata wujudnya pasaraya besar antara faktor kurang pelanggan di sini. Dulu tak ada pasaraya besar, jadi kalau nak beli baju raya pun, di sini saja yang boleh dikatakan banyak pilihan.

“Namun bila dah banyak pasaraya besar, pelanggan ada alternatif. Mungkin orang ramai lebih suka membeli di sana kerana fasilitinya lebih lengkap dan lebih banyak pilihan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kompleks alami banyak kerosakan

Tinjauan Sinar Harian ke Kompleks Perniagaan Datuk Kailan ini mendapati banyak kerosakan berlaku terutamanya di bahagian luar legarnya.

Bumbung yang terkopak menyebabkan air hujan dapat masuk dan membanjiri kawasan ini.

Abdullah berkata, keadaan ini telah berlarutan sejak sekian lama lagi.

“Bila bumbung pun dah terkopak, air bergenang, yang jadi itu kawasan di bahagian pintu masuk hadapan.

“Jadi bila pelanggan datang mereka akan rasa tak selesa,” katanya.

Katanya, dahulu kawasan ruang legar itu disewa oleh beberapa pihak untuk mengadakan jualan murah.

“Lokasinya agak strategik, terletak di bahagian depan. Orang masuk terus jumpa, tak payah mencari-cari lagi.

“Tapi bila dah jadi macam ini, kawasan ini kadangkala digenangi dengan air bila hujan, macamana orang nak sewa,” katanya kesal.

Pelanggan boleh kira dengan jari

Seorang lagi peniaga, Roshinah Sharif, 50, berkata, keadaan di kompleks ini begitu sunyi dan kadangkala pelanggan yang datang hanya boleh dikira dalam sehari.

“Nasib baiklah saya buka kedai jahit, ada juga pelanggan lama yang masih datang untuk tempah baju.

“Kalau saya berniaga benda lain, tak tahulah bagaimana keadaannya,” katanya.

Menurutnya, dahulunya kompleks ini dipenuhi dengan peniaga-peniaga.

“Apa yang saya tahu konsep kompleks ini sama dengan Pekan Rabu, jadi masa awal buka sekitar 2005 memang penuh dengan peniaga,

“Pelanggan masa tu memang ramai, tapi lama-kelamaan semakin hari semakin sedikit, kesian juga kepada rakan-rakan lain.

“Ada yang terpaksa tutup kedai mereka dan pindah ke tempat lain gara-gara perniagaan yang diusahakan tak mampu bertahan,” katanya.

Perlu wajah baru

Bagi pelanggan, Mohd Haikal Saad, 37, apa yang diharapkannya agar kompleks ini dapat diberikan nafas semula agar dapat menarik pengunjung untuk bertandang ke sini.

“Sayang kalau kompleks yang dulunya jadi tumpuan masyarakat di Kepala Batas ini, dibiarkan sebegini tanpa perhatian yang penuh.

“Dulu saya selalu datang ke sini sebab banyak gerai. Tapi kini kalau nak tempah baju saja baru saya datang,” katanya.

Katanya pihak berwajib perlu bersama sama memikirkan cara untuk menaikkan kembali kompleks ini.

“Kedudukan kompleks ini strategik, kemudahan parkir pun ada, jadi pelanggan tak perlu susah-susah untuk meletak kenderaan.

“Tapi kalau kurang penyelenggaraan, saya khuatir kompleks ini akan mati dan orang akan melupakannya. Buatlah sesuatu, ini salah satu mercu tanda di Kepala Batas, jangan biar ia tinggal kenangan,” katanya. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment