Monday, 7 March 2016

Bersihkan’ ahli parti tidak sehaluan – Pemuda UMNO Perlis


KANGAR: Pergerakan Pemuda UMNO Perlis hari ini mencadangkan Majlis Tertinggi mempertimbangkan program pemutihan bagi membersihkan parti itu daripada individu yang tidak sehaluan dan taat setia bersama pucuk pimpinan parti.

Ketuanya, Syed Atif Syed Abu Bakar, berkata usaha ini perlu memandangkan UMNO telah melalui fasa perpecahan sehingga parti itu diharamkan dan membawa kepada penubuhan Parti Melayu Semangat 46.

Katanya, tindakan seperti itu penting kerana selepas Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada UMNO, bekas perdana menteri itu mengheret sama beberapa pemimpin parti bersekongkol dengan pembangkang untuk menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya berundur.

“Terima kasih juga kepada timbalan presiden yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menzahirkan tembelang sebenar beliau yang melampaui batas sebagai ahli dan pemimpin parti.

“Tidak ada yang lebih jengkel… sebagai orang yang berjiwa UMNO duduk bersama pemuka-pemuda pembangkang, khususnya DAP untuk menghentam UMNO dan pemimpin parti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
“Pemuda UMNO Perlis mendoakan presiden merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikurniakan kebijaksanaan fikiran, kekuatan jiwa, kesihatan tubuh dan ketabahan hati dalam menghadapi ujian dan cabaran.
“Bagi pihak ketua-ketua Pemuda bahagian dan negeri, saya menggesa seluruh Pemuda UMNO bersatu tanpa terikut-ikut meneladani rentak perpecahan dan meneruskan perjuangan agama, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya.
-BERNAMA

No comments:

Post a Comment