Wednesday, 2 March 2016

Berapa Luas lagi Tanah Pulau Pinang yang tinggal ?



KEGHAIRAHAN Kerajaan DAP Pulau Pinang mengumumkan pelbagai projek mega di negeri ini nampaknya tidak sedikit pun menerbitkan rasa kagum atau bangga dalam kalangan penduduknya. Sebaliknya, reaksi yang jelas kelihatan adalah kebimba­ngan berhubung masa depan mereka khususnya penduduk di bahagian pulau. Dalam kebanyakan projek mega yang diumumkan itu, ada satu perkara yang tidak pernah ter­tinggal iaitu penjualan atau pertukaran tanah milik kerajaan negeri.
Mengikut rekod tidak rasmi, ketika pembangkang mengambil alih Pulau Pinang, keluasan tanah milik kerajaan negeri yang ditinggalkan Barisan Nasional (BN) adalah sebanyak 12 peratus.
Tetapi keluasan itu dikatakan menyusut mendadak kepada ha­nya sekitar tujuh dan lapan peratus dalam tempoh lapan tahun DAP memerintah negeri ini. Sejauh mana kebenaran angka keluasan tanah milik kerajaan negeri ini tidaklah dapat dipastikan.
Hal ini kerana Kerajaan DAP Pulau Pinang sendiri tidak pernah mengemukakan data rasmi mengenai keluasan tanah tersebut kepada umum. Tetapi jika melihat kepada ‘pesta penjualan’ tanah oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini, maka bukanlah sesuatu yang pelik, angkanya mungkin jauh lebih sedikit.
Sebagai contoh pada 2012, Kerajaan DAP Pulau Pinang didesak menjawab soal penjualan beberapa hektar tanah di Jalan Taman Free School; Lengkok Ariff di Masjid Negeri; Jalan Zainal Abidin dan Jalan C.Y Choy.
Turut dipersoalkan ketika itu adalah penjualan beberapa hartanah di sekitar Georgetown seperti sembilan buah rumah praperang di Jalan Magazine; lima buah rumah di Jalan Kimberly dan sebuah rumah di Lorong Hutton.
Difahamkan, bangunan yang mempunyai nilai sejarah dan warisan tinggi itu kesemuanya adalah harta milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Nasib bangunan berusia ratusan tahun ini sebenarnya tidak banyak berbeza de­ngan bangunan Runnymede yang baru sahaja menyembah bumi awal Februari lalu yang mencetuskan kemarahan banyak pihak.
Sejak pendedahan mengenai penjualan hartanah itu, Kerajaan DAP Pulau Pinang seolah-olah tidak mampu tertahan lagi selepas lebih banyak tanah dikatakan dijual. Le­bih membimbangkan, kali ini penjualannya membabitkan keluasan cukup besar dengan nilai transaksi mencecah jutaan ringgit.
Berikut penulis kongsikan beberapa transaksi jualan tanah yang didakwa dilakukan Kerajaan DAP Pulau Pinang itu seperti diviralkan di Internet. Malah, realiti penjualan tanah oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang ini juga disebarkan secara meluas menerusi WhatApps dalam kalangan penduduk negeri ini.
Tujuannya menyuntik keseda­ran mengenai hakikat sebenar ta­nah yang masih bersisa dalam ta­ngan kerajaan negeri ketika ini.
* 2011 – Seluas 41 hektar tanah di Bayan Mutiara dijual pada harga RM1.07 bilion.
* 2013 – seluas 44.5 hektar tanah di Gurney Drive dijual untuk projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 juta dalam kes yang disifatkan unik kerana tidak melibatkan wang tunai.
* 2013 – 16.2 hektar tanah di Batu Kawan dijual kepada pemaju.
* 2014 – tanah seluas 99 hektar dan 12 hektar (RM57 juta) di Batu Kawan dijual kepada pemaju.
* 2014 – 190 hektar hektar tanah di Batu Kawan dijual kepada pemaju bernilai RM1.02 bilion.
Daripada siri penjualan tanah itu juga, terdapat satu transaksi yang mencetuskan persoalan besar dalam kalangan banyak pihak iaitu penjualan kepada syarikat asing dari Singapura.
Difahamkan, tanah-tanah terlibat adalah seluas 49 peratus daripada 80 hektar di Batu Kawan dan 2.7 hektar di Bayan Lepas yang didakwa juga tidak melibatkan wang tunai.
Kesemua persoalan mengenai realiti penjualan tanah oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang ini sudah lama dibangkitkan rakyat. Namun sehingga kini, Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya membisu dengan setiap penjualan tanah berkenaan.
Apa yang dituntut penduduk adalah sekiranya transaksi penjualan tanah itu benar-benar wujud maka Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu mendedahkan butirannya secara terperinci kepada umum. Berapa keuntungan yang diperoleh Kerajaan DAP Pulau Pinang daripada setiap penjualan tanah itu? Apa pula manfaatnya kepada penduduk negeri ini? Adakah pembangunan di atas tanah yang dijual kepada pemaju pada harga yang cukup tinggi itu turut melibatkan penduduk Pulau Pinang secara ke­seluruhannya?
Persoalan lebih besar yang perlu dijawab Kerajaan DAP Pulau Pinang adalah berapa banyak lagi keluasan tanah yang dimiliki kerajaan negeri ketika ini
Mohd Khuzairi Ismail
Utusan

No comments:

Post a Comment