MELAKA, 29 Feb – Sebanyak 10,000 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) 1Malaysia akan dibina Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) di seluruh negara tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB Datuk Ahmad Azizi Ali.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 35 buah (RMR) 1Malaysia akan dibina di Melaka bagi peringkat pertama dan dijangkakan siap pada Mei tahun ini selain pembinaan secara berperingkat di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor.
“Tahun lepas kita telah menyiapkan sebanyak 2,011 (RMR) 1Malaysia di seluruh negara dan kita yakin sasaran kita tahun ini akan dapat dicapai.
“Bagi memastikan sasaran tercapai, kita akan bersikap tegas dan memantau kontraktor di setiap projek bagi mengelak berlaku kelewatan ataupun masalah projek terbengkalai yang kerap berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Inden Kerja (RMR) 1Malaysia peringkat negeri Melaka di Auditorium Seri Negeri, di sini hari ini yang turut dihadiri Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Ismail Othman.
Ahmad Azizi berkata SPNB telah berjaya membina 34,774 unit rumah di bawah program itu sejak dilaksanakan pada tahun 2002.
Menurutnya pada awal tahun ini sebanyak 976 permohonan telah diluluskan termasuk pemohon di negeri-negeri pantai timur.
“Bagaimanapun permohonan tidak semestinya akan diluluskan pada tahun yang dipohon…ada yang lebih setahun mohon baru permohonan mereka diluluskan.
“Jadi saya berharap pemohon bersabar dan kita akan terus membantu golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah yang daif tetapi mempunyai tanah untuk memiliki rumah sendiri yang lebih selesa,” katanya.-umno online

No comments:
Post a Comment