Wednesday, 17 February 2016

Georgetown Tapak Warisan Dunia tiada makna ?



DARIPADA apa yang difahami banyak pihak, apabila sesebuah kawasan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia, maka sudah semestinya elemen yang membolehkannya diiktiraf sedemikian rupa dipertahan dan dilindungi pihak berkuasa. Tetapi keadaan sebaliknya berlaku di Georgetown.


Sejak ibu negeri Pulau Pinang ini diberi pengiktirafan itu oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) pada 2008, tarikan warisannya semakin terhakis sehari demi sehari.

Terbaru dalam isu perobohan Hotel Runnymede, di Jalan Sultan Ahmad Shah yang mencetuskan kemarahan banyak pihak khususnya kalangan pencinta warisan dan sejarah. Hotel Runnymede adalah sebahagian daripada binaan dalam kawasan hartanah kolonial Runnymede di atas tanah seluas kira-kira satu hektar.

Hartanah kolonial Runnymede ini yang dibina pada 1920-an turut menempatkan binaan utama iaitu bangunan Neo Classical yang sebelum ini dikenali sebagai Rumah Persekutuan.

Disebabkan terletak pada kawasan hartanah kolonial yang sama, bangunan-bangunan itu dibina dengan rekaan seni bina hampir serupa yang mana adalah antara hasil binaan mewah dan eksklusif ketika zamannya.

Malah, Hotel Runnymede yang berusia lebih 200 tahun itu juga mempunyai nilai sejarah cukup tinggi apabila dikatakan didiami Sir Stamford Raffles pada 1805. Ketika itu, Raffles bertugas sebagai Penolong Setiausaha kepada Gabenor Pulau Pinang, Robert Townsend Farquhar.

Hotel Runnymede juga pernah bertukar peranan apabila dijadikan hospital tentera British ketika zaman Perang Dunia Kedua.

Namun catatan sejarah yang tidak ternilai pada Hotel Runnymede itu langsung tidak membawa apa-apa makna kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang. Bangunan itu akhirnya menyembah bumi diroboh pihak tertentu pada sambutan Tahun Baharu Cina minggu lalu. Satu tindakan yang disifatkan banyak pihak penuh misteri kerana dilakukan pada hari cuti umum.

Lebih mengecewakan apabila perobohannya dikaitkan dengan rancangan pembinaan bangunan komersial melibatkan pangsapuri 61 tingkat; hotel 31 tingkat; menara perniagaan dan pejabat 12 tingkat.

Difahamkan rancangan pembangunan komersial di tapak kolonial Runnymede itu pernah dikemukakan oleh pemaju sebelum ini namun dibatalkan pihak berkuasa pada November tahun lalu.

Sehubungan itu, apabila secara tiba-tiba Hotel Runnymede dirobohkan, perkara tersebut menimbulkan persoalan adakah kelulusan perancangan diberikan semula kepada pemaju berkenaan?

Jika benar, mengapa perkara itu tidak didedahkan kepada umum khususnya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan warisan yang selama ini berjuang bersungguh-sungguh mempertahankan tinggalan sejarah di negeri ini?

Apa pula justifikasi yang diguna pakai kerajaan negeri dalam memberi kebenaran kepada pemaju merobohkan bangunan warisan tersebut untuk digantikan dengan bangunan komersial?

Hotel Runnymede bukan satu-satunya bangunan tinggalan sejarah yang gugur menyembah bumi di negeri ini kerana kerakusan pemaju.

Penduduk negeri ini pastinya masih mengingati bagaimana hilangnya banglo warisan, 20 Pykett yang dimusnahkan secara haram oleh pemaju pada 2010. Paling menyakitkan apabila pemaju berkenaan hanya didenda sebanyak RM6,000 kerana kesalahan itu, hukuman yang jauh tidak setimpal dengan kehilangan warisan sejarah berusia lebih 200 tahun.

Kebimbangan sama turut dirasai banyak pihak dalam isu perobohan Hotel Runnymede, sekiranya nanti kerja-kerja tanah itu didapati tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Sesuatu yang jelas, tidak ada kesungguhan Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam mempertahankan elemen warisan dan tinggalan sejarah seperti diiktiraf Unesco di negeri ini.

Atas apa alasan sekali pun, bangunan Hotel Runnymede, meskipun terletak di luar tapak warisan dunia, perlu dipertahankan kerana keunikan dan ketinggian nilai sejarah yang dimilikinya.

Bangunan itu adalah lambang kepada wajah sebenar Georgetown yang pernah wujud suatu ketika dahulu. Sekali gus tidak wajar dikorbankan semata-mata bagi memenuhi kerakusan Kerajaan DAP Pulau Pinang menukar kawasan pulau negeri ini menjadi wilayah elit dengan moden komersial moden dan mewah.-Utusan

No comments:

Post a Comment