Tuesday, 25 August 2015

Umno Sri Gading Berdiri Teguh Pertahan Perdana Menteri. @AKaprawi


USUL PERSIDANGAN UMNO BAHAGIAN SRI GADING MENYOKONG KEPIMPINAN YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SRI NAJIB BIN TUN RAZAK , PRESIDEN UMNO DAN PERDANA MENTERI MALAYSIA.

BAHAWA PERSIDANGAN UMNO BAHAGIAN SRI GADING YANG BERSIDANG PADA HARI INI BERSETUJU MENYOKONG PENUH KEPIMPINAN YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SERI MOHD NAJIB BIN TUN RAZAK SEBAGAI PRESIDEN UMNO DAN PERDANA MENTERI MALAYSIA.

Yang dihormati Pengerusi Persidangan dan sidang perwakilan sekalian ,

Mengetahui bahawa : UMNO sebagai sebuah parti politik pemerintah di antara yang tertua di dunia. Kenyataan ini sememangnya tidak dapat disangkal dan dinafikan oleh mana-mana pihak sekalipun. Selepas kejatuhan parti pemerintah tertua di India dan Jepun , UMNO masih unggul mendepani cabaran globalisasi yang menuntut parti keramat ini untuk terus relevan seiring dengan zamannya. UMNO yang telah dilahirkan 69 tahun yang lalu , telah berjaya mengisi perjuangan ini dengan dimensi yang pelbagai. UMNO bermula sebagai wadah perjuangan nasionalisme dan kemerdekaan sehinggalah hari ini mempersiapkan Negara bangsa kea rah Negara maju menjelang 2020. Namun yang kekal nyata adalah dasar UMNO dalam memperjuangkan agama , bangsa dan tanah air sejak awal penubuhannya.

Menghayati bahawa : Sepanjang 69 tahun UMNO telah belayar sebagai sebuah kapal yang meniti arus perjuangan demi agama bangsa dan tanah air , sudah barang pasti UMNO tidak pernah sunyi dengan onak ranjau yang berduri yang perlu ditempuhi. Cabaran dan dugaan yang melanda parti keramat selama ini , tidak lain dan tidak bukan untuk merobek dan menguburkan UMNO dari bumi yang bertuah ini. Namun yang pasti , cubaan itu bukan sahaja gagal bahkan telah menjadikan badan UMNO itu berdiri semakin kukuh dan menjulang megah. Kejayaan UMNO mengharungi ranjau dan cabaran ini bukan semata-mata ditunjangi oleh pemimpin-pemimpinnya yang hebat , atau kerana jumlah ahlinya yang ramai tetapi , kerana muafakat dan perpaduan yang telah tertanam di dalam jiwa orang-orang UMNO itu sendiri. Ini merupakan resepi utama kepada kelangsungan survival UMNO dalam perjuangannya.

Menyedari bahawa : Hakikat perjuangan UMNO itu yang masih jauh dan penuh ranjau intipati perjuangan teramat penting. Asas perjuangan ini perlu digarap dan diikat kukuh dengan perpaduan dan muafakat ahlinya selain berdiri teguh dengan kesetiaan kepada presiden parti. Benarlah seperti firman Allah di dalam Al-Quran , surah ali Imran ayat 103 yang berbunyi :

Hari ini , sekali lagi UMNO di duga dengan fitnah dan adu domba yang maha dahsyat. Fitnah dan adu domba ini jelas telah mengocak kepercayaan akar umbi dan rakyat terhadap kepimpinan. Ikatan perpaduan yang telah dibina saban tahun seakan longgar mengikut persepsi dan acuan masing-masing. Institusi Presiden parti merangkap Perdana Menteri Malaysia sebagai pemimpin Islam hari ini telah dihujani dengan berita fitnah yang dibawa oleh mereka yang berkepentingan dan mereka yang ingin melihat UMNO itu terkubur. Tanpa disedari , jarum-jarum halus Yahudi dan Nasrani telah berjaya mempengaruhi minda pemikiran orang Islam dan ahli UMNO khususnya. Kita seolah-olah terlupa akan jasa besar dan pengorbanan Presiden Parti kita Hari ini , berita fitnah telah menguasai di ruang-ruang media sosial. Allah SWT telah mengingatkan kita tentang bahayanya fitnah kepada umat manusia di dalam surah Al-Baqarah ayat 191 :

“ Dan fitnah itu adalah lebih teruk( lebih besar dosanya ) daripada membunuh “.

Allah juga telah mengingatkan kita untuk bijak menapis berita atau perkara yang disampaikan bagi mengelak terpengaruh dengan aktiviti menyebarkan berita berunsur fitnah tanpa kita sedari. Firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 6 jelas bermaksud sedemikian.

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Janganlah di lupa , sejarah banyak mengajar kita , kewafatan Khalifah Uthman Bin Affan kerana fitnah , kejatuhan Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiyah kerana fitnah dan fitnah bias menghancurkan kedaulatan agama , bangsa dan negara.

Maka dengan ini :

UMNO Bahagian Sri Gading yang bersidang pada hari ini mengusulkan bahawa menyokong ketetapan Yang Amat Berhormat Presiden Parti yang juga Perdana Menteri Malaysia untuk merombak kabinet demi kelangsungan survival politik , agama , bangsa dan tanah air. Sehubungan dengan itu juga UMNO Bahagia Sri Gading memberikan kepercayaan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Yang Amat Berhormat Presiden Parti untuk menyatakan kebenaran dan ketelusan dalam kemelut dalaman parti hari ini. Sewajarnya kita memberikan ruang dan peluang yang seluas-luasnya kepada YAB Presiden untuk mendepani pemulihan dalaman parti dan pembinaan sebuah Negara bangsa yang maju dan berjaya. Sudah pasti , sebagai wajah UMNO , yang mendukungi amanah sebagai pemimpin Islam di bumi bertuah ini dan juga negara Islam serantau , Yang Amat Berhormat Presiden merupakan sasaran utama dalam usaha sesetengah pihak yang mahu melihat beliau dan parti keramat ini terus layu dan terkubur. Ibarat pepatah melayu ada mengatakan “ mati kepala , matilah ekornya “. Oleh yang demikian , sebagai ahli perjuangan yang suci murni ini, setiap akar umbi wajar mempertahankan Yang Amat Berhormat Presiden Parti sebagai tunjang utama dan pemegang panji-panji dalam kelangsungan politik UMNO. Marilah sama-sama kita hayati sepotong ayat Al-Quran daripada Surah An-Nisa’ ayat 59 :

"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qur'an) dan Rasul (sunahnya) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih elok pula kesudahannya. “

Keduanya , UMNO Bahagian Sri Gading menyeru kepada sidang perwakilan dan seluruh ahli akar umbi agar terus memperkemas dan memperkukuhkan permuafakatan dan perpaduan sesama kita. Seharusnya ahli UMNO kembali kepada asas perjuangan iaitu memartabatkan agama , bangsa dan bumi bertuah ini. Asas dan dasar perjuangan ini merupakan agenda utama perjuangan. Perlembagaan parti dijadikan rujukan dalam sebarang tindakan. Perlembagaan bertulis yang senantiasa mengingatkan batang tubuh UMNO terhadap dasar perjuangan , penyatuan ummah dan nilai tambah dijadikan asas pemikiran , idea , pelaksanaan dan hati budi orang-orang UMNO sendiri.

Konklusinya , ketika berhadapan saat getir ini , sekali lagi nilai perpaduan dan permuafakatan menjadi teras dalam kepatuhan kepada perlembagaan dan diterjemahkan dalam setiap langkah dan tindak tanduknya. Segala rasa hati dan luahan rasa wajar dinyatakan dengan cara yang paling berhemah , bertatasusila dan mengikut garis panduan yang sepatutnya. Dan akhirnya , kesemua nilai yang dinyatakan tadi dapat disambut dengan budi bahasa dan tatasusila sesuai dengan wajah UMNO , bangsa Melayu yang tinggi adab sopannya.

No comments:

Post a Comment