Sunday, 9 August 2015

Tidak Bimbang Dilucut Jawatan : Persoalan Yang Perlu Dijawab Khairy Jamaluddin


Terdahulu, isu printscreen yang didakwa perancangan sulit untuk mensabotaj Perdana Menteri juga masih belum terjawab sehingga kini.

Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin pula tampil dengan kenyataan berikut yang diterbitkan Berita Harian;
KLANG: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin tidak bimbang jika dilucutkan jawatan sebagai menteri kerana memberi pandangan berkaitan tindakan yang diambil terhadap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini. 
Tetap dengan pendiriannya, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, beliau percaya apa yang dilakukannya betul dan selain mahu kebenaran ditegakkan. 
"Saya tidak risau (ditukar atau dilucutkan) kerana saya percaya kita mesti menegakkan kebenaran dan menyuarakan pendapat sekiranya ada yang tidak kena. 
"Malah, Presiden, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada mesyuarat perwakilan di Bandar Tun Razak sebentar tadi juga memberitahu, beliau tidak perlukan "yes man" di sekelilingnya. 
"Itulah yang saya lakukan dan saya akan membawa perkara ini (SPRM) kepada Ketua Setiausaha Negara untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengapa ia berlaku," katanya selepas merasmikan penutup Mesyuarat Tiga Sayap UMNO Bahagian Klang , di sini, petang tadi. 
Khairy berkata demikian mengulas mengenai kelantangannya menyuarakan rasa tidak senang dengan apa yang dianggap sebagai intimidasi terhadap SPRM. 
Pada masa sama, Khairy juga turut menggesa ahli UMNO di peringkat akar umbi supaya bangkit menyuarakan pendapat serta tidak hanya berdiam diri demi menjaga diri sendiri serta pangkat bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi parti itu ketika ini.

Dengan kenyataan- kenyataan sebegini yang ditampilkan oleh barisan kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia dan tanpa sebarang penafian berhubung isu printscreen yang tersebar, apakah dakwaan perancangan untuk mensabotaj Perdana Menteri itu adalah benar?

Khairy mengatakan tidak bimbang sekiranya dilucutkan jawatan akibat pandangan yang diutarakannya berkaitan tindakan terhadap SPRM.

Jika Khairy merasakan apa yang disuarakan adalah betul, kenyataan yang dikeluarkan itu adalah tidak bertanggungjawab sama sekali. Kenyataan itu memperlihatkan seakan- akan pentadbiran Perdana Menteri sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup mulut sesiapa yang bersuara termasuk melucutkan jawatan seseorang. Walhal Perdana Menteri sendiri pernah menyatakan bahawa tidak salah untuk berbeza pendapat asalkan ianya disuarakan melalui saluran yang betul.

Jika Mahu dikaitkan kenyataan tersebut dengan pengguguran Muhyiddin. Adakah Muhyiddin digugur akibat lantang menyuarakan sesuatu isu?

Untuk makluman Khairy, Muhyiddin Yassin berkemungkinan bukan digugurkan akibat terlalu lantang bersuara, sebaliknya ia melibatkan beberapa isu lain. Malaysia Today ada menulis tentang pengguguran itu (Klik di sini).

Apakah mempertahankan SPRM dapat membuktikan Khairy adalah dipihak yang benar? Ikuti pula pandangan Pengerusi Yayasan Antirasuah Kelantan, Datuk Wan Rosdi Mat Rasik melalui artikel yang diterbitkan Utusan Malaysia hari ini;
POLIS SIASAT ANGGOTA SPRM PERKARA BIASA 

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan satu kelaziman kerana prosedur sama turut dilakukan ke atas pegawai agensi lain.

Pengerusi Yayasan Antirasuah Kelantan, Datuk Wan Rosdi Mat Rasik berkata, semua pihak sepatutnya memandang perkara tersebut sebagai sesuatu yang positif bagi memastikan pegawai SPRM bersih daripada sebarang gejala salah laku. 
Katanya, hal ini kerana SPRM merupakan satu badan khas yang ditubuhkan bagi mengawal selia dan mencegah kegiatan rasuah yang berlaku di negara ini dan sebarang penyelewengan atau salah laku dalam agensi itu perlu dibanteras. 
“Hal-hal yang membabitkan integriti seseorang penjawat awam perlu dititikberatkan SPRM bagi memastikan siasatan yang telus dapat dilakukan terutama yang melibatkan dokumen-dokumen rasmi kerajaan dan perbankan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini. 
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam memberi jaminan tiada tindakan lanjut akan dikenakan ke atas pegawai SPRM yang diambil keterangan berhubung kebocoran maklumat dokumen rasmi kerajaan. 
Menurut Ahmad Zahid, PDRM hanya mahu mendapatkan keterangan daripada beberapa pegawai terbabit mengenai kebocoran maklumat di media sosial. 
Dalam perkembangan berkaitan, Wan Rosdi berkata, tindakan memindahkan pegawai-pegawai SPRM ke jabatan dan agensi kerajaan lain bakal memberikan nafas baharu kepada badan siasatan tersebut.

Jika siasatan Polis terhadap pegawai SPRM adalah perkara biasa, apakah agenda sebenarnya Khairy mengeluarkan kenyatan demi kenyataan yang dilihat lebih menguntungkan pembangkang dan menjadi liabiliti kepada parti sendiri?

Sekali lagi persoalan utama timbul, ADAKAH BENAR WUJUD PERANCANGAN SULIT UNTUK MENSABOTAJ PERDANA MENTERI dikalangan sebilangan kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia seperti printscreen yang tersebar?

1 comment:

  1. Kelihatannya khairi makin lama makin x relevan sebagai ketua pemuda UMNO.

    ReplyDelete