Portal berita pro pembangkang, Malaysiakini semalam melaporkan melalui artikelnya bertajuk Dr M: Demo desak PM undur pilihan akhir menyatakan jalan terakhir untuk menjatuhkan Najib Razak adalah melalui demonstrasi.
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perhimpunan jalanan hanya boleh dijalankan sebagai langkah terakhir untuk menyingkir Datuk Seri Najib Razak dari jawatan perdana menteri.
"Itu hanyalah sebagai langkah terakhir. Kita bukan orang ganas. Kita tidak sepatutnya memilih jalan demostrasi kerana ia akan menyusahkan orang lain.
“Tetapi jika tiada jalan lain, ia boleh dilakukan,” kata bekas perdana menteri itu dalam satu sidang media di Universiti Tunku Abdul Rahman petang ini.
Beliau menjawab soalan mengenai perhimpunan #TangkapNajib pada 1 Ogos dan perhimpunan BERSIH 4 yang dirancang untuk diadakan pada 29 dan 30 Ogos untuk menekan Najib agar meletak jawatan.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan, apakah ianya membuktikan bahawa Mahathir sudah habis ikhtiar untuk menjatuhkan Najib Razak dari jawatan Perdana Menteri yang disandangnya ketika ini?
Akibat amarah yang membuak- buak terhadap Najib Razak yang enggan dijadikan boneka bagi memenuhi tuntutan peribadinya, Mahathir sanggup untuk memperjudikan kestabilan negara Malaysia apabila membayangkan demonstrasi adalah jalan akhir untuk mencapai kehendaknya.
Masihkah Mahathir ingat akan kenyataannya berhubung demonstrasi yang pernah disiarkan akhbar Sinar Harian bertarikh 23 Mei 2013?
DEMONSTRASI JALANAN JEJAS IMEJ NEGARA
SHAH ALAM – Setiap kali selepas PRU diadakan, baik di Malaysia atau di seluruh dunia, sudah pasti kumpulan kalah akan mendakwa penipuan, penyelewengan dan salah guna kuasa sebagai punca kemenangan pihak lawan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dengan dakwaan seperti ini, pihak yang kalah akan meminta diadakan pilihan raya baru atau kiraan semula undi.
Menurutnya, jika permintaan ini tidak dipenuhi, kumpulan ini akan mengadakan demonstrasi jalanan secara berterusan, malah mereka sanggup menggunakan kekerasan dan mengganggu ekonomi negara.
“Demonstrasi jalanan boleh menumbangkan kerajaan. Kita tahu ia boleh dilakukan seperti yang berlaku pada ‘Arab Spring’. Kita juga tahu menyusun kerajaan baru juga satu tugas yang sukar,” katanya.
Kata Dr Mahathir lagi, jika demonstrasi yang dilakukan cukup besar, kumpulan ini tahu bahawa pihak polis tidak akan bertindak terhadap mereka.
“Jika polis bertindak juga, para demonstran akan bertindak balas dan menjadi lebih ganas. Jika polis membalas balik dengan keganasan, kuasa asing yang menyokong mereka akan menuduh ia satu keganasan polis.
“Dalam keadaan tertentu polis akan berundur atau diarahkan berundur. Ada pihak akan mengambil peluang dari keadaan ini untuk melakukan jenayah kecil dan membuatkan orang ramai berasa tidak selamat,” katanya.
Tambah Dr Mahathir lagi, jika pilihan raya diadakan semula dan pihak yang kalah tadi menjadi pemenang, maka pihak lawan akan menggunakan alasan sama seperti penipuan dan penyelewengan sebagai punca kemenangan mereka.
“Mereka akan mengadakan demonstrasi jalanan dan melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan kerajaan, ia akan berulang-ulang.
“Keputusannya adalah ketidakstabilan kepada negara, tiada pembangunan dan kemiskinan akan bertambah. Negara mungkin akan meminjam wang dan akhirnya negara hilang kemerdekaan,” katanya.
Dengan nada sinis Dr Mahathir berkata, lebih baik sebuah kerajaan dipilih melalui demonstrasi jalanan kerana ia mungkin kurang unsur-unsur penipuan.
“Sudah pasti ia adalah nilai yang kecil untuk membayar hak menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan yang demokratik,” katanya.
Melalui artikel itu, Mahathir menegaskan bahawa demonstrasi jalanan hanya akan membawa banyak keburukan berbanding kebaikan.
Antara impak demonstrasi yang digariskan beliau ketika itu termasuklah;
Kerancakan ekonomi negara terganggu.
Selepas demonstrasi ala Arab Spring, menyusun semula kerajaan baru adalah sesuatu yang sukar.
Orang ramai akan berasa tidak selamat.
Ketidakstabilan kepada negara akibat perebutan kuasa melalui demonstrasi yang akan menjurus kepada peminjaman wang dan meyebabkan negara hilang kemerdekaan.
Apakah Mahathir sudah lupa impak yang pernah disenaraikan di atas sehingga sanggup memperjudikan nasib sebuah negara merdeka untuk memuaskan nafsu sendiri?
Jika itu jalan terakhir yang dipilih Mahathir untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang dipilih secara demokrasi, maka gelaran negarawan yang dipegang oleh beliau sewajarnya dikaji semula. Mana mungkin seorang negarawan mahu bertindak sebegitu rupa dan bersedia melihat negaranya porak peranda.
Semoleknya, dalam membuat sebarang keputusan, Mahathir perlu tenang dan tidak perlu memutuskan sesuatu ketika marah seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ini;
وَعَنْ ابي بَكْرَة رَضِيَ الله عَنْهُ قالَ :" سَمِعْتُ رَسُوْلُ الله صَلى الله عَليْهِ وَالسّلمَ يَقولُ : لايَحْكُمُ اَحَدٌ بَيْنَ اثنَيْنِ وَهُوَغَضْبَانٌ"(متفق عليه)
Artinya :
“Dari Abu bakrah Mengabarkan : “saya mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda :”Seorang Hakim tidak boleh memutuskan persengketaan diantara dua orang dalam keadaan marah”. ( Riwayat: Bukhari-Muslim).
No comments:
Post a Comment