Thursday, 6 August 2015

Awas, @ibdil Mula Gerakkan Aset Untuk Pertahan Kerajaan


Ibdilillah Ishak, Pengerusi Biro Media Sosial Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia semalam dikatakan ada menyatakan kesediaannya untuk menggerakkan 10% daripada 600,000 aset yang dimiliki untuk membantu kerajaan.

SHAH ALAM – Pergerakan Pemuda UMNO sedia membantu kerajaan untuk memantau kegiatan dalam media sosial selain menjadi ejen untuk menyebar maklumat mengenai dasar serta polisi negara kepada umum. 
Pengerusi Biro Media Sosial Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak berkata, dengan jumlah keahlian kira-kira 600,000 orang, ia merupakan aset kepada parti sebagai mata dan telinga bagi membantu Kerajaan Persekutuan dalam mempertahankan dasar-dasar sedia ada.
Menurutnya, mereka boleh bergerak seiring dengan pasukan-pasukan serupa yang diwujudkan di bawah agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Jabatan Penerangan. 
“Kita tidak perlu mengerahkan 600,000 ahli ini, cukup sekadar sepuluh peratus daripada mereka untuk memantau kegiatan medan siber dan menjadi ejen penyebar maklumat.
“Saya akan cuba untuk melihat kerjasama yang boleh diberi kepada agensi-agensi kerajaan terutama Penggerak di bawah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini. 
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup mengumumkan pasukan penggerak di bawah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional akan diberi tanggungjawab sebagai wira papan kekunci untuk menangkis dan menjawab balas serangan dalam media sosial yang berbaur perkauman. 
Pasukan itu yang sudah wujud dua tahun lalu turut akan menjawab balas isu-isu yang memburuk-burukkan kerajaan serta isu-isu yang menggugat keharmonian negara. /Selangorpost

Penangkini amat memuji usaha untuk mempertahankan kerajaan oleh BMS jika ia benar- benar wujud dan mahu digerakkan. Bak kata pepatah inggeris "Better late than never".

Namun begitu, sejauh manakah kesungguhan Biro Media Sosial di bawah Ibdilillah Ishak mahu mempertahankan kerajaan jika dakwaan wujud perancangan sabotaj terhadap Perdana Menteri yang dikatakan melibatkan dirinya sendiri sehingga kini masih belum dijawab kepada umum?

KLIK UNTUK BACA ARTIKEL BERKAITAN;
Wujudkah Gerakan Sabotaj Perdana Menteri? Lebih Banyak Printscreen Akan Didedahkan?

Selaku Pengerusi kepada Biro Media Sosial yang sememangnya diamanahkan untuk mempertahankan kerajaan, Penangkini agak pelik apabila Ibdilillah Ishak perlu untuk mengeluarkan kenyataan sebegitu sebelum bertindak.

Seharusnya, Biro Media Sosial bekerja 24 jam bagi menangkis setiap pembohongan dan fitnah pelbagai pihak yang kelihatan tidak pernah surut tanpa perlu menyatakan kepada umum.

Apakah niat sebenar Ibdilillah mengambil tindakan sedemikian, adakah tujuan sebenarnya adalah mahu mencuri tumpuan dan mencari publisiti?

Dengan pelbagai spekulasi yang melanda diri sendiri dan dakwaan kewujudan perancangan sabotaj yang belum dijawab, Penangkini berpandangan, Ibdililah seharusnya membuktikan bahawa dakwaan itu adalah satu penipuan sebelum mahu berlagak seolah adiwira yang mahu mempertahankan kerajaan.

Jika itu tidak dibuktikan terlebih dahulu, masyarakat akan melihat kenyataan yang dikeluarkan itu seakan- akan satu lakonan yang tidak mampu membuatkan orang sekeliling terpegun menontonnya.

Malahan, jika dakwaan kewujudan perancangan sabotaj terhadap Perdana Menteri itu tidak dapat dijawab sejujurnya, Penangkini berpandangan adalah lebih molek untuk Ibdilillah Ishak mengundurkan diri dan menyerahkan jawatan tersebut kepada individu lain yang lebih mampu memberikan komitmen sepenuhnya dalam usaha menangkis segala dakwaan jahat terhadap kerajaan.

2 comments:

  1. Rahsiakan gerakkerja kamu nanti jadi cakap tak serupa bikin..tunjukan hasil itu saja.

    ReplyDelete