Thursday, 23 July 2015

Mana kuota 30 peratus rumah kos rendah?

PULAU PINANG 22 Julai – Pemuda Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri melaksanakan semula peraturan kuota 30 peratus rumah kos rendah dan sederhana rendah dalam projek perumahan mampu milik di negeri ini.

Ketua Biro Perundangan dan Aduan Rakyat parti itu, Jason Loo berkata, ini kerana kuota 30 peratus diperlukan penduduk terutama dalam kalangan belia yang tidak mampu memiliki rumah sendiri sehingga terpaksa berhijrah ke tempat lain.

Menurutnya, sebelum ini Pe­ngerusi Jawatankuasa Pembangunan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo menyatakan adalah mustahil untuk pemaju projek perumahan mampu milik membina 100 peratus unit rumah mampu milik dan menyediakan 30 peratus rumah kos rendah serta sederhana rendah.

Beliau menyangkal dakwaan Jagdeep itu kerana berdasarkan pemerhatiannya, pemaju hanya perlu membelanjakan tiga peratus daripada jumlah keseluruhan jualan unit rumah mampu milik untuk membina 30 peratus unit rumah kos rendah dan sederhana rendah.

Katanya, beliau meminta penjelasan daripada kerajaan negeri mengenai projek perumahan yang dikenali sebagai The Clovers, satu lagi projek rumah mampu milik yang gagal mematuhi ketetapan mengikut skim projek itu.

“Projek di Sungai Ara itu diluluskan walaupun gagal mematuhi skim rumah mampu milik dan Jagdeep perlu menjelaskan bila projek itu diluluskan, sama ada sebelum atau selepas skim tersebut diperkenalkan pada Ogos tahun lalu.

“Jika projek itu diluluskan selepas skim itu diperkenalkan, kenapa unit yang dijual pemaju tidak mengikut saiz minimum yang ditetapkan kerajaan negeri dan mana kuota 30 peratus unit rumah kos rendah dan sederhana rendah,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Jason menegaskan, pemaju menyatakan terdapat 146 unit rumah mampu milik dalam projek melibatkan tiga blok kondominium 42 tingkat dengan jumlah keseluruhan 892 unit kediaman sedangkan jumlah yang ada hanya 113 unit.

Katanya, berdasarkan Skim Rumah Mampu Milik Pulau Pinang, saiz minimum rumah berharga RM200,000 adalah 750 kaki persegi manakala unit berkeluasan 850 kaki persegi pula berharga RM300,000.

Walau bagaimanapun katanya, pemaju membina unit dengan keluasan 699 dan 728 kaki persegi dengan harga RM200,000 manakala bagi harga RM300,000, unitnya berkeluasan 728 dan 776 kaki persegi yang saiznya nyata lebih kecil.

Jason juga mendakwa, masih kurang 76 unit rumah mampu milik dalam projek itu berdasarkan garis panduan 87 unit untuk setiap ekar di kawasan berkepadatan tinggi.

No comments:

Post a Comment