Thursday 23 July 2015

1MDB : Selepas Keputusan Siasatan PAC Keluar, Integriti Tony Pua Akan Benar- Benar Diuji


Integriti Tony Pua sebagai ahli Jawatankuasa Wang Kira-Kira Negara (PAC) akan diuji selepas keputusan laporan berhubung 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dikeluarkan, jelas pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Ia berikutan Tony dilihat sering menyerang kerajaan dengan menggunakan isu tersebut meskipun siasatan sedang dijalankan.

“Sebagai pengerusi tak molek saya komen pasal integriti jawatankuasa PAC, tetapi PAC akan keluarkan laporan kelak dan terpulang kepada rakyat untuk nak percaya atau tidak PAC.

“Masa itu integriti ahlinya akan teruji dengan laporan tu,” katanya menerusi Whatsapp kepada BNBBC.my, Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada wajar ataupun tidak ahli parlimen Petaling Jaya Utara itu dikeluarkan daripada PAC sepertimana yang didesak beberapa pimpinan BN.

Semalam, pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata Tony harus dikeluarkan daripada jawatankuasa tersebut supaya siasatan lebih telus boleh dilakukan kerana nerkaitan integriti sebagai ahli PAC.

Begitu juga dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau tidak ada hak untuk menyingkirkan Tony daripada PAC kerana ia tertakluk di bawah kuasa Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

“Dia (Tony) dicadang oleh parti dia dan dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih Parlimen yang dipengerusi oleh Speaker, sebarang tindakan perlu dibincang dan ditentukan oleh jawatankuasa ini yang melantik Tony.

“Bagi mengeluarkan seseorang ahli Jawatankuasa daripada sesuatu Jawatankuasa yang dianggotainya hendaklah tertakluk kepada Jawatankuasa Pemilih yang melantik seseorang ahli Majlis menjadi ahli sesebuah Jawatankuasa itu, PAC tak ada hak nak ambik tindakan terhadapnya,” jelas Nur Jazlan.

Dalam pada itu, Nur Jazlan turut menolak kebimbangan banyak pihak tentang kebocoran maklumat dalaman yang mungkin berlaku sekiranya Tony disingkirkan daripada PAC.

“Ada berpuluh orang dalam mesyuarat, memang boleh bocor pun,” tambahnya ringkas ~ Agendanews

No comments:

Post a Comment