Sunday, 21 February 2021

#TigaKongsi Mayat reput ditemui dalam tong biru di ladang kelapa sawit


Mayat lelaki dipercayai warga asing dalam keadaan reput ditemui dalam tong biru di kawasan kebun kelapa sawit di Tiga Kongsi, Simpang Ampat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Lee Chong Chern berkata, pihaknya menerima laporan pada 10.40 pagi tadi berhubung penemuan mayat itu daripada pemilik kebun berusia 46 tahun tersebut.

“Pemilik kebun itu memaklumkan kepada polis bahawa pekerjanya yang melakukan kerja pemotongan sawit di situ pada jam 6 petang semalam terhidu bau busuk dalam sebuah tong berwarna biru bersaiz 150l dan mendapati mayat di dalamnya.


“Pemeriksaan polis mendapati tiada dokumen pengenalan diri ditemukan pada mayat mangsa berusia 40-an itu dipercayai warga asing dan telah meninggal dunia kira-kira sebulan. Keadaan mayat telah mengecut serta mengering,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, pemeriksaan awal pada luaran mayat lelaki, yang memakai seluar pendek dan berbaju-T, mendapati tiada sebarang kesan kecederaan, selain pengesanan pasukan polis di sekeliling kawasan kejadian juga tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

“Setakat ini, polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan kehilangan mana-mana individu. Bagaimanapun, kami minta kerjasama orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, pekerja atau rakan agar tampil membuat pengesanan,” katanya.

Katanya, mayat itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. AWANI

No comments:

Post a Comment