Monday, 21 December 2020

Pulau Pinang kuat kuasa pemasangan infrastruktur komunikasi sebagai utiliti asas

 

Pulau Pinang muncul negeri pertama menguatkuasakan pemasangan infrastruktur komunikasi gentian optik sebagai utiliti asas setaraf dengan bekalan air dan elektrik, serta mewajibkan pemaju menyediakan infrastruktur terbabit di seluruh negeri itu.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) pada 17 Dis lepas memutuskan agar pihak pemaju diwajibkan untuk menyediakan infrastruktur gentian optik di dalam mana-mana bangunan atau kawasan skim pemajuan baharu di seluruh negeri Pulau Pinang.


Katanya, keputusan tersebut adalah bagi menyokong penggunaan jalur lebar berkelajuan tinggi di negeri Pulau Pinang memandangkan penggunaan wayar jenis 'copper' tidak lagi relevan.


“Selaras dengan matlamat gagasan Penang 2030, kerajaan negeri Pulau Pinang terus komited untuk memastikan penyediaan infrastruktur digital yang menyeluruh dan berkualiti tinggi bagi menampung keperluan norma baharu serta menyokong pemangkinan ekonomi digital di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, di bawah perancangan strategik Penang Connectivity Master Plan (PCMP) pemasangan infrastruktur komunikasi tetap sebagai salah satu infrastruktur asas telah diperuntukkan mengikut Undang-undang Kecil 25 dan 27 di bawah Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan.


Sementara itu, Zairil berkata langkah penguatkuasaan pemasangan infrastruktur komunikasi itu selari dengan aspirasi kerajaan pusat melalui pelaksanaan pelan infrastruktur digital iaitu Digital Negara atau lebih dikenali sebagai JENDELA.


Katanya, penguatkuasaan berkenaan bukan sahaja menjadi pemboleh utama dalam mencapat matlamat ketersediaan kelajuan gigabit atau Gigabit State yang pertama di Malaysia tetapi dapat mempercepatkan proses pelaksanaan teknologi capaian 5G yang bakal direalisasikan.


"Dengan pelaksanaan dasar ini, Pulau Pinang bukan sahaja dapat membekalkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang meluas kepada rakyatnya, tetapi juga memangkinkan sektor ekonomi digital yang disasarkan sebagai salah satu industri masa depan yang penting bagi negeri kita ini," katanya.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment