Thursday, 24 December 2020

Lima beranak tiada tempat tinggal, hanya berteduh dalam kereta


GEORGE TOWN, 24 Dis -- ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’ -  Itu ungkapan sesuai buat kehidupan seorang pengawal keselamatan, isteri dan tiga anak kecil mereka, apabila terpaksa menjalani kehidupan seharian hanya di dalam kereta.

S.Ganesh, 34, berkata beliau terpaksa mendiami dan memberi teduhan kepada isteri dan anak-anaknya hanya dalam sebuah kereta berusia kira-kira 20 tahun itu, selepas rumah mereka di Lebuh Carnarvon di sini musnah dalam kebakaran pada awal April lalu.

“Selepas kejadian itu kami tiada lagi tempat tinggal, hanya tinggal dalam kereta ini yang merupakan tempat berteduh buat saya, isteri S, Parameswary, 32,  serta tiga anak G. Girthikanesh (enam tahun), G. Devi Shri (tiga), dan bayi G. Kirthana yang berusia lapan bulan,” katanya ketika ditemui pemberita di Padang Polo di sini hari ini. 

Ganesh berkata setiap hari beliau akan membawa kereta Proton Iswara terpakai tersebut dengan anak dan isteri mencari tempat redup untuk berhenti dan berteduh sementara di sesuatu lokasi di sekitar George Town dan menggunakan tandas-tandas awam untuk mandi dan sebagainya

“Bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji bulanan RM1,200 amat memeritkan. Makan minum apa yang mampu sahaja seperti mi segera, biskut, nasi dan lauk telur, ikut pada kecukupan perbelanjaan,” katanya yang amat menaruh harapan memperoleh sebuah rumah untuk diduduki bersama keluarga tercinta.

Bernama

No comments:

Post a Comment