Wednesday, 4 November 2020

CAP: Pencemaran Sungai Naran di Bayan Lepas membimbangkan


GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini menyuarakan kebimbangan berhubung pencemaran Sungai Naran dekat Batu Maung yang dikhuatiri akan menjejaskan ekosistem dan kesihatan penduduk setempat.


Pegawai Pendidikan CAP N.V Subbarow berkata CAP telah melakukan pemantauan sejak sebulan lepas dan mendapati keadaan sungai yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) itu dipenuhi sampah sarap seperti botol plastik, bekas makanan, kayu dan beg plastik.


“Keadaan air sungai sepanjang kira-kira 10 kilometer yang menghubungkan ke Sungai Kluang didapati berbau dan warna airnya sangat keruh,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.


Setelah menerima beberapa aduan daripada penduduk setempat, Subbarow berkata tinjauan CAP mendapati terdapat isi rumah dan juga kilang-kilang kecil yang terletak berdekatan dengan sungai itu, telah membuang sisa kotoran yang boleh menyebabkan kehidupan air terjejas.


“CAP akan keluarkan satu surat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam masa terdekat bagi menyuarakan kebimbangan ini kerana jika tiada tindakan tegas diambil ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab ini, maka kehidupan di sekitarnya termasuk kesihatan penduduk setempat akan terancam.


"Kita juga tidak mahu sampah sarap yang dibawa arus sungai ini terlepas ke sungai-sungai berhampiran seterusnya memasuki lautan kerana kesannya amat buruk untuk kita dan alam sekitar,” katanya.


Beliau turut menyeru masyarakat setempat agar sentiasa menguruskan sisa buangan seperti sampah dengan baik dengan mengasingkan jenis-jenis sampah di dalam tong sampah kitar semula bagi menangani masalah pencemaran sungai yang merupakan tanggungjawab bersama.




--BERNAMA

No comments:

Post a Comment