Friday, 30 October 2020

Pawagam Malaysia akan ditutup mulai November

 


Persatuan Pempamer Filem Malaysia (Mafe) secara kolektif memutuskan untuk menghentikan sementara operasi semua pawagam di seluruh negara mulai November ini.


Timbalan Presiden Mafe Cheah Chun Wai berkata, mulai bulan depan, pawagam akan menggantung penayangan filem dan operasi konsesi secara progresif di lokasi mereka.


Pada masa sama, mereka akan terus memantau keadaan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya apabila keadaan bertambah baik.


“Penutupan itu adalah keputusan yang kohesif, diambil oleh industri berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersayarat (PKPB) baru-baru ini di beberapa negeri di seluruh Malaysia, yang mewajibkan pawagam kekal ditutup.



“Ia ditambah dengan kekurangan terbitan filem baru dalam jangka masa pendek, suatu usaha yang penting untuk menarik penonton kembali ke pawagam,” katanya.


Pawagam merupakan antara industri yang paling teruk terjejas akibat penularan Covid-19.


Ditutup sejak penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac, ia kembali dibuka pada 1 Julai lalu dengan syarat mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.



Cheah berkata, industri pawagam telah mengalami kerugian pendapatan yang besar - dengan kadar 90 peratus - tahun demi tahun dan perlu memperuntukkan kos yang besar untuk mematuhi SOP bagi memastikan keselamatan pelanggan ketika menonton filem.


“Kami adalah pusat sosial, komunal dan budaya di Malaysia.


“Kami bantu menghidupkan kisah-kisah pelakon tempatan dan luar negara untuk jutaan rakyat Malaysia agar mereka boleh menontonnya dengan orang tersayang setiap tahun,” katanya.


Katanya lagi, keputusan itu bukanlah mudah tetapi ia adalah langkah yang wajar bagi perjalanan pawagam di negara ini agar dapat terus menyumbang dalam ekonomi, sosial dan budaya bangsa dalam jangka masa panjang.



“Menutup dan membuka semula pawagam adalah sangat membebankan dan merugikan bukan saja untuk pawagam tetapi pemilik premis dan pelanggan kami.


“Kepada semua penonton di negara ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan dan solidariti yang tidak henti selama ini dan berharap dapat menerima kehadiran anda semula tidak lama lagi untuk sekali lagi berkongsi keajaiban filem di layar lebar,” katanya.


'Perlu sokongan kerajaan'


Cheah berkata lagi, industri itu bukan melibatkan pemilik pawagam semata-mata, tetapi pelakon, kru penggambaran dan semua yang terbabit dalam "menjadikan filem sesuatu yang bermakna".


Platform itu juga memungkinkan kejayaan filem tempatan seperti Munafik, Hantu Kak Limah, Ejen Ali: The Movie dan BoBoiBoy The Movie 2, katanya lagi.


Cheah berkata pawagam telah meminta bantuan kerajaan dan pihak lain alam usaha untuk terus bertahan dan pulih dari krisis yang melanda seluruh dunia ini.


“Sekiranya perniagaan pawagam gagal, ia pasti akan menyahstabilkan seluruh ekosistem hiburan.


“Pawagam kini bergantung pada sokongan kerajaan, pemilik bangunan, studio filem dan peminat wayang untuk berjaya mengharungi saat-saat sukar ini.


“Tempoh akan datang penting bagi kelangsungan industri pawagam Malaysia. Namun industri ini tetap optimis selepas Covid-19 ia akan lebih kuat dari sebelumnya, kerana menonton filem akan tetap menjadi pilihan hiburan utama rakyat Malaysia,” katanya.


Mkini

No comments:

Post a Comment