BANGI: Tan Sri Muhyiddin
Yassin menyeru graduan masih menganggur supaya merebut peluang mendaftar Pelan
Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi-Career
Advancement Programme (PENJANA KPT-CAP).
Perdana Menteri berkata,
graduan boleh memohon program berkenaan melalui portal Graduates Reference Hub
for Employment and Training (GREaT) yang disediakan Kementerian Pengajian
Tinggi.
"Progran PENJANA
KPT-CAP yang julung kali diperkenalkan ini unik kerana graduan dipastikan akan
memperoleh pekerjaan selepas menamatkan kursus ditetapkan.
"Kursus ini direka
mengikut kehendak dan keperluan ditetapkan syarikat yang bakal mengambil
graduan terbabit sebagai pekerja mereka," katanya.
Beliau berkata demikian
ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran PENJANA KPT-CAP) di Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri
Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kewangan, Tengku Datuk
Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M
Saravanan.
Hadir sama, Pengerusi
Kumpulan Media Prima Bhd (MPB), Datuk Syed Hussian Syed Junid yang juga
Pengerusi Kumpulan Western Digital.
Muhyiddin berkata,
program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran bukan saja untuk menangani graduan
menganggur, malah memastikan golongan yang hilang pekerjaan dalam tempoh
pandemik COVID-19 mengekalkan atau meningkatkan kemahiran mereka supaya
memanfaatkan peluang ketika ekonomi beransur pulih.
"Contohnya kursus
Smart Trucker. Kandungan pengajaran dalam kursus ini direka berdasarkan
kemahiran diperlukan syarikat logistik yang mengeluarkan 'Letter of Commitment'
(LOC) kepada KPT.
"Justeru, habis saja
tempoh kursus, graduan tadi akan ditawarkan bekerja dengan syarikat logistik
berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, Perdana
Menteri berkata, KPT kini giat membangunkan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT
2021-2025 bagi memastikan kesinambungan pemerkasaan agenda keusahawanan di
institusi pengajian tinggi.
"Keusahawanan perlu
dilihat sebagai satu cabang kerjaya berpotensi besar yang boleh diteroka
pelajar dan graduan.
"Bidang keusahawanan
bukan saja menawarkan penjanaan pendapatan kepada pengusaha tetapi sebagai 'job
creator' iaitu berupaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain melalui
perniagaan yang dijalankan," katanya.
--BHOnline
No comments:
Post a Comment