Monday, 28 September 2020

Berhenti kerja demi jaga anak hidap kanser otot

 

BAGAN SERAI: Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Itulah nasib pasangan suami isteri yang terpaksa berhenti kerja demi menjaga anak tunggal mereka selepas disahkan menghidapi kanser otot setahun lepas.

 

Pasangan Shahrul Asyraf Sharuddin,31, dan isterinya Syamimi Athirah Sanusi, 28, kedua-duanya berhenti kerja sejak sebulan lepas demi memastikan anak perempuan mereka berusia empat tahun Saffiya Aisyah dirawat dengan baik.

 

Shahrul Asyraf terpaksa meninggalkan kerja di restoran makan segera manakala isterinya berhenti daripada bekerja di sebuah kilang di Batu Kawan, Pulau Pinang kerana terpaksa berulang-alik ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani rawatan kemoterapi.

 

Selain itu, anak kesayangan mereka juga perlu mengambil ujian darah dua kali sehari di klinik berhampiran di sini dan kekangan masa memaksa mereka memutuskan untuk berhenti kerja.

 

“Anak saya disahkan menghidap kanser otot ketika berumur tiga tahun dan telah menjalani satu pembedahan membuang ketumbuhan sebesar bola golf pada paha sebelah kanan namun terdapat lagi ketumbuhan lain di pangkal paha.

 

"Sejak Ogos lepas, Safiyya Aisyah terpaksa menjalani rawatan kemoterapi sebanyak tiga kali dalam sebulan di Hospital Pulau Pinang," katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menerima kunjungan Persatuan Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) dan Sahabat Parlimen Bagan Serai di Kampong Parit Haji Husin dekat sini, hari ini.

 

Untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga, Syamimi Athirah kini menjual kuih dan nasi lemak di Pasar Awam Bagan Serai dengan pendapatan bersih RM50 sehari yang digunakan untuk perbelanjaan harian, kos rawatan termasuk lampin pakai buang dan susu khas untuk anaknya.

 

Sementara itu, Pengerusi FOCCAN, Maznah Taiyib berkata pihaknya memberikan bantuan awal seperti wang tunai dan peralatan seperti susu khas dan lampin pakai buang kepada keluarga berkenaan.

 

Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, setiap bulan FOCCAN menerima laporan mengenai peningkatan jumlah pesakit kira-kira 20 pesakit berbanding 15 sebelum ini dan menjadikan jumlah pesakit kanser di wilayah utara sebanyak 450 orang sehingga kini.

 

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi talian 011-36029498 dan 013-9028029 atau memberi sumbangan terus ke akaun Maybank Shahrul Asyraf di nombor 1582 4852 1779.

 

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment