Thursday, 20 August 2020

Saudi bertegas tiada perjanjian dengan Israel selagi isu Palestin belum terhurai

 



Arab Saudi menyatakan pada Rabu (19 Ogos) ia tidak akan mengikut langkah Amiriah Arab Bersatu (UAE) menjalin hubungan diplomatik dengan Israel selagi negara itu tidak menandatangani perjanjian damai dengan Palestin yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

UAE minggu lalu menjadi negara pertama Teluk yang menjalin hubungan dengan Israel hingga memberi tekanan kepada negara Arab lain termasuk Arab Saudi untuk melakukan perkara sama.

Bagaimanapun, Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan Al-Saud menolak kesepakatan itu sehingga isu Palestin dihuraikan.

Semasa satu lawatan ke Berlin, Putera Faisal berkata perdamaian harus dicapai dengan Palestin berdasarkan perjanjian antarabangsa sebagai prasyarat untuk sebarang hubungan diplomatik.

"Selepas perkara itu dicapai, barulah semua perkara boleh dibincangkan," katanya.

Arab Saudi tetap dengan pendiriannya dalam isu Palestin walaupun ia secara sulit menjalin hubungan dengan Israel sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dalam anjakan yang diterajui oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Dalam satu sidang media bersama rakan sejawatannya dari Jerman, Heiko Maas, Putera Faisal juga mengulangi kritikan dasar sepihak terhadap pencerobohan di Tebing Barat yang tidak sah dan merugikan kepada huraian dua negara yang diusulkan sebelum ini. Namun, beliau secara berhati-hati rasa optimis terhadap perjanjian minggu lalu yang menyaksikan Israel bersetuju untuk menangguhkan tindakan mengilhakkan wilayah-wilayah di Tebing Barat. Ini meskipun Perdana Menteri Benjamin Netanyu kemudian membayangkan bahawa rancangan itu tidak akan ditangguhkan selama-lamanya.

Dalam pada itu, menantu dan penasihat Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump iaitu Jared Kushner turut memberi tekanan kepada Arab Saudi dengan mendakwa bahawa demi kepentingan Riyadh, maka Saudi harus menjalin hubungan diplomatik secara rasmi dengan Israel.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Isnin berkata Israel akan membuka koridor di Arab Saudi untuk penerbangan ke UAE.

Sementara itu, pensyarah di Universiti Essex yang mempunyai pengkhususan dalam dasar kerajaan terhadap Israel, Aziz Alghashian, berkata: "Gagasan bahawa Arab Saudi akan menjalin hubungan dengan Israel adalah sesuatu yang tidak masuk akal".

"Kekangan terbesar untuk menjalin hubungan Arab Saudi-Israel bukanlah ketakutan akan tindak balas domestik dan serantau, sebaliknya, Arab Saudi menganggap tidak perlu untuk menjalin hubungan di luar rangka kerja Inisiatif Perdamaian Arab yang menuntut penyelesaian masalah Palestin, jika Saudi masih mahu dilihat sebagai pemimpin dunia Muslim dan Arab," kata Alghashian. 

- AFP/FZ/fz

No comments:

Post a Comment