Tuesday 11 August 2020

Harga pelitup muka kini RM1 sekeping – Alexander Nanta Linggi



Kadar harga runcit pelitup muka kini ditetapkan RM1 sekeping manakala peringkat pemborong pula adalah 95 sen.

Perkara itu diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi apabila memberitahu, ia adalah sebahagian daripada pendekatan untuk membantu rakyat terutama golongan ibu bapa yang perlu membekalkan pelitup muka untuk anak-anak mereka ke sekolah.

“Kita bersedia untuk turunkan lagi kepada paras harga yang lebih rendah pada masa akan datang,” katanya.Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Stampin (DAP), Chong Chieng Jen mengenai rasional peningkatan harga maksimum pelitup muka daripada RM0.80 sen sekeping ke RM1.50 sekeping.

Kerajaan sebelum ini mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak serta di dalam pengangkutan awam mulai 1 Ogos.

Pada minggu lalu, Nanta di Dewan Rakyat dilapor berkata, kerajaan bercadang menurunkan lagi paras harga siling pelitup muka tiga lapisan ke paras bawah RM1.20 seunit mulai 15 Ogos.

Penurunan harga maksimum pelitup muka adalah langkah yang bersifat pendekatan lembut bagi membolehkan stok-stok yang dibawa masuk terdahulu dengan kos yang lebih tinggi menggunakan pengangkutan udara dapat dijual untuk mengurangkan kerugian pengimport akibat dari penurunan harga ini, katanya. – MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment