Tuesday, 7 July 2020

Sembilan cedera, dua kenderaan bertembung



KEPALA BATAS - Sembilan individu cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki bertembung dengan pacuan empat roda (4x4) dalam kemalangan di Permatang Tiga di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian pada jam 11.15 malam itu berlaku ketika 4x4 Isuzu D'Max yang dipandu lelaki berusia 29 tahun dalam perjalanan dari arah Kepala Batas menghala ke Sungai Lokan.

"Pemandu Isuzu D'Max dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan. Pemandu Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak mengakibatkan sembilan individu dalam dua kenderaan itu cedera.

"Mangsa yang menaiki Perodua Alza dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan kedua-dua kenderaan berkenaan juga mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan," katanya ketika dihubungi tadi.

Menurutnya, pemandu Isuzu D'Max yang memandu berseorangan mengalami sakit dada serta kepala manakala Perodua Alza yang dinaiki lapan individu mengalami cedera di beberapa bahagian badan dan masih dalam pemeriksaan.

"Pemandu Perodua Alza yang berusia 40 tahun mengalami patah kaki kanan manakala tujuh penumpang berusia lingkungan 2 tahun hingga 70 tahun cedera di beberapa bahagian badan dan menerima rawatan di Hospital Kepala Batas.

"Orang awam yang mempunyai maklumat kejadian boleh hubungi pegawai penyiasat di talian 018-2881424 atau Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah Polis Seberang Perai Utara di talian 04-5741427 atau balai polis berhampiran," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : SinarHarian

No comments:

Post a Comment