Saturday, 4 July 2020

Sekotak mi segera berharga 2 gram emas di kawasan terpencil Papua


Di kawasan terpencil di wilayah Pegunungan Bintang, Papua, membeli barangan keperluan akan merobekkan dompet anda berbanding jika ia dibeli di kebanyakan kawasan lain di Indonesia.

Bagi seguni beras, kebiasaannya seberat 10 kilogram, penduduk di kawasan perlombongan emas tradisi di Korowai perlu berbelanja sekurang-kurangnya Rp2 juta (RM589), harga yang sama dengan harga permulaan untuk telefon pintar.


Sebagai perbandingan, di Jakarta, sekilogram beras berharga antara Rp10,000 (RM2.95) hingga Rp11,000 (RM3.25), bermakna untuk 10 kilogram beras kos mereka di ibu negara adalah kira-kira Rp110,000 (RM32.50).





Perbezaan harga yang besar itu tidak hanya terhad kepada beras sahaja. Sekotak mi segera berharga Rp1 juta (RM294.45) di Korowai. Kadang kala mereka membayarnya dengan dua gram emas.


“Sebungkus mi segera berharga Rp25,000 (RM7.35),” kata Hengki Yaluwo, pentadbir koperasi di Kawasan Perlombongan 33 Korowai seperti dipetik The Jakarta Post.

“Sepuluh kilogram beras berharga empat gram emas. Jika anda bayar tunai, anda memerlukan Rp2 juta,” katanya.

Pada kebiasaannya setin ikan berharga Rp150,000 (RM44.20) manakala telefon bimbit berharga antara 10 hingga 25 gram emas, kata Hengki.

Berbanding kawasan lain di wilayah tersebut, Korowai agak terpencil dan tidak membangun walaupun ia dikelilingi lima wilayah lain iaitu Pegunungan Bintang, Yahukimo, Asmat, Boven Digoel dan Mappi.


Adalah sukar untuk sampai ke Korowai. Seseorang perlu menaiki helikopter dari wilayah Bovel Digoel sebelum meneruskan perjalanan dengan menggunakan bot panjang di Sungai Boven Digoel  selama sehari.

Selepas itu mereka perlu berjalan kaki selama dua hari untuk sampai di kawasan perlombongan Korowai.

Penduduk Korowai, Ben Yarik berkata, kawasan tersebut dihuni oleh puak Korowai – salah satu puak kumpulan Orang Asli di wilayah paling timur di Indonesia.

“Untuk sekian lama, kerajaan tidak membina apa-apa di Korowai. Tuhan yang beri kami emas, oleh itu kami boleh melombongnya untuk membantu (kehidupan) kami,” katanya Ben.

Ben menambah, perlombangan tradisi merupakan sumber utama kehidupan penduduk Korowai. Ben berkata, beliau berharap kerajaan tidak sepatutnya menutup lombong-lombong di situ kerana ia merupakan sumber ekonomi yang stabil bagi penduduknya.

“Sedih. Ramai orang ketinggalan walaupun masih terdapat banyak emas,” katanya yang dipetik kompas.com – Agensi

No comments:

Post a Comment