Monday 13 July 2020

PM Muhyiddin usul Ariff Yusof lepaskan jawatan speaker Dewan Rakyat


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mengusulkan Ariff Yusof melepaskan jawatan speaker Dewan Rakyat.

Beliau dalam cadangannya memberi alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan itu.

“Saya ingin mencadangkan Dewan Rakyat ini mengambil ketetapan untuk Ariff Yusof mengosongkan jawatannya atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Tuan Yang Di Pertua,” katanya.



Pembangkang bagaimanapun tidak berpuas hati dan menuntut perbahasan yang panjang sebelum pengundian.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) menggesa kerajaan jangan gopoh, mengatakan ini pertama kali berlaku dalam sejarah.

“Ini soal besar bukan soal teknikal, dengar dan saya percaya perdana menteri boleh mendengar dan menjawab dan sebelum ahli-ahli Parlimen memutuskan dengan mengundi,” katanya.

Anwar sebelum itu meminta timbalan speaker, Rahshid Hasnon untuk tidak mengehadkan 2 orang sahaja untuk bebahas bagi pihak pembangkang berikutan isu pertukaran speaker itu dianggap penting.




“Bagi peluang untuk bahas kerana isu ini penting dan belum pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.

Keadaan bertukar menjadi kecoh apabila ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan saling mencelah mengenai usul tersebut.

Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu juga tidak ketinggalan mengatakan speaker “bodoh”.

Sementara itu, ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad ketika menbahaskan usul tersebut turut tidak setuju mengenainya.

“Saya belum pasti ini usul ke tak kerana ia diadakan dalam keadaan yang tidak dipertuntukkan dalam peraturan kita.

“Saya baca dan saya tak nampak ada ditulis di situ bahawa perdana menteri boleh tukar speaker tanpa sebab pasal ada calon lain,” katanya.

Mahathir juga berkata, ia adalah isu besar dan langkah membenarkan hanya 2 orang di pihak pembangkang untuk berbahas adalah seperti mahu menutup mulut pembangkang.

“Yang kerajaan nak tukar sebab Ariff tak ikut telunjuk kerajaan, tetapi ini bukan tugas speaker untuk ikut apa yang kerajaan nak.

“Kenapa nak takut? Kamu ada lebihan bilangan dalam dewan ini. Patut dengar sebab kita tidak ada kepercayaan pada kerajaan sekarang ini,” katanya.

Mahathir berkata, seseorang yang mengepalai Dewan Rakyat tidak harus menyebelahi mana-mana pihak dan perlu bersifat neutral.

“Saya pun ada calon lain untuk PM. Kita tidak ada sebab untuk tukar speaker,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan berkata, usul yang dibawa Muhyiddin tidak bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Ketika menggulung usul itu Takiyuddin turut mengakui bahawa usul tersebut pertama kali dikemukakan dalam sejarah perjalanan Parlimen.

“(Ahli Parlimen) Langkawi (Mahathir) dan Port Dickson (Anwar) mengatakan bahawa perkara ini adalah pertama kali dalam sejarah Parlimen Malaysia. Memang itu benar.

“Tetapi perkara yang pertama kali, bukanlah perkara yang ‘illegal’. Ia boleh dilaksanakan berdasarkan perlembagaan dan undang-undang.

“Sebagai contonya dalam negara kita, tidak pernah berlaku perdana menteri interim, tetapi apabila ia telah berlaku kali pertama, kita terima.

“Begitu juga dengan masalah di depan kita, ia bukan memecat speaker. Masalah di depan kita adalah usul mengosongkan kerusi speaker untuk digantikan dengan speaker yang lain,” katanya.


Takiyuddin berkata, usul tersebut walaupun tidak diperuntukkan dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, namun ia dibolehkan dalam perlembagaan.

“Usul yang dikemukakan oleh Muhyiddin dibuat di bawah Perkara 57 (2) (c) perlembagaan persekutuan yang memperuntukkan Yang Dipertua boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada setiausaha Dewan Rakyat.

“Peruntukan itu turut menyebut speaker hendaklah mengosongkan jawatannya jika pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan sedemikian,” katanya.

Dalam undian belah bahagi yang dijalankan selepas itu, usul kerajaan supaya Ariff mengosongkan jawatan disokong oleh 111 ahli Parlimen mengatasi 109 yang menolak.

Perkembangan itu diumumkan oleh timbalan speaker Rashid Hasnon.

Dua ahli dewan yang tidak mengundi ialah Maximus Ongkili (PN-Kota Marudu) dan Rashid yang berada di kerusi speaker.

FMT

No comments:

Post a Comment