Friday, 3 July 2020
Kes Terowong - SPRM kunjungi pejabat exco Pulau Pinang
Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah melawat pejabat dua Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang masing-masing P Ramasamy dan Zairil Khir Johari pagi tadi.
Bagaimanapun, agensi itu tidak merakam sebarang kenyataan daripada mereka.
Ketika dihubungi, mereka mengesahkan perkara ini kepada Malaysiakini.
Ramasamy yang merupakan Timbalan Menteri II Pulau Pinang, berkata pegawai peguatkuasa SPRM datang ke pejabat beliau ketika beliau sedang menghadiri mesyuarat, namun tidak dapat bercakap dengannya.
Sebaliknya, pegawai-pegawai itu bercakap dengan setiausaha dan dua pengawal keselamatannya.
Kemudian, mereka mengambil beberapa gambar pejabat Adun Perai itu, sebelum meminta salinan jadual tugas beliau dan bertanya mengenai jumlah kakitangan di pejabatnya.
Zairil sementara itu berkata, anggota SPRM juga mengunjungi pejabatnya di Komtar, Georgetown pagi ini dan bercakap dengan pembantunya.
Pegawai-pegawai SPRM itu tidak mengambil sebarang keterangan daripada Adun Tanjong Bunga itu setelah pembantunya memberi kerjasama.
"Keterangan saya tidak dirakam," jelas Zairil.
Dipercayai, SPRM akan ke pejabat Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan timbalannya Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman petang ini.
Difahamkan, keempat-empat mereka sedang disoal siasat berkaitan dengan tangkapan bekas ketua Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Jeffrey Chew.
Chew dipercayai sedang disiasat atas dakwaan rasuah yang melibatkan projek terowong bawah laut di Pulau Pinang yang akan menghubungkan pulau itu ke tanah besar.
SPRM membekukan siasatan pada tahun 2018 tetapi memulakan semula siasatan setelah kemunculan "bukti baru".
Projek ini dalam peringkat perancangan sejak 2011 dan 2012.
Pada masa itu, Chew merupakan pegawai khas kepada ketua menteri ketika itu, Lim Guan Eng.
Mkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment