Sunday, 5 July 2020

Jerebu Rentas Sempadan Dijangka Tidak Berlaku Dalam Masa Terdekat – MetMalaysia

Jerebu rentas sempadan dari arah timur dan tengah Kalimantan, Indonesia dijangka tidak melanda negara dalam masa terdekat, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Pemantauan berdasarkan Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC) semalam menunjukkan terdapat tiga titik panas dikesan di Kalimantan dan 12 lagi di Sumatera, Indonesia.

“Berdasarkan kepada bilangan dan kedudukan titik panas serta arah tiupan angin itu, menunjukkan bahawa tiada pencemaran jerebu rentas sempadan sedang dan dijangka berlaku dalam masa terdekat.

“Pada masa ini, keadaan kualiti udara di seluruh negara dalam keadaan biasa dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicerap Jabatan Alam Sekitar menunjukkan kategori baik dan sederhana,” menurut kenyataan itu.


Bagaimanapun, MetMalaysia memberitahu keadaan itu tidak bermakna jerebu tidak akan melanda negara kerana biasanya kejadian jerebu rentas sempadan masih boleh melanda pada Ogos dan September sekiranya kebakaran terbuka tidak terkawal.



MetMalaysia juga akan memantau keadaan itu secara berterusan dan melaporkan dari semasa ke semasa jika terdapat sebarang kejadian signifikan dan dalam masa sama orang ramai dinasihatkan meminum air secukupnya bagi mencegah dehidrasi selain mengelakkan pembakaran terbuka pada setiap masa.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi dan laman media sosial MetMalaysia serta aplikasi myCuaca manakala maklumat IPU boleh didapati dalam laman www.apims.doe.gov.my.


Sumber:: Bernama

No comments:

Post a Comment