Kerajaan tidak teragak-agak melanjutkan tempoh Perintah Kawalan pergerakan jika masih ramai gagal mematuhi arahan berkenaan sehingga menyukarkan usaha pihak berwajib mengekang penularan wabak Covid-19.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, arahan Perintah Kawalan pergerakan selama dua minggu ketika ini bertujuan memberi masa buat pesakit Covid-19 sembuh sekaligus mengelak daripada berlaku jangkitan baharu.
“ Covid-19 mempunyai hayat inkubasi dua minggu. Terdapat kes di mana simptom hanya muncul selepas itu. Kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberi rawatan menjadikan Malaysia bebas Covid-19.
“Jika dalam tempoh ini belum berjaya sepenuhnya, kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan,” katanya dalam perutusan khas di saluran RTM, malam ini.
Terdahulu, Muhyiddin menegur sikap segelintir individu yang gagal mematuhi arahan Perintah Kawalan sehingga menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya dan lokasi hab pengangkutan awam.
Jelasnya, tindakan tersebut berisiko tinggi dibimbangi meningkatkan jumlah kes jangkitan wabak Covid-19.
Beliau pada masa sama menasihati orang ramai agar kekal di rumah dan tidak pulang ke kampung halaman masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.

No comments:
Post a Comment