Thursday, 12 March 2020

Cuaca panas tidak mampu bunuh virus #Covid19 - Dr Rafidah

Pakar perunding buah pinggang Dr Rafidah Abdullah menyanggah dakwaan koronavirus (Covid-19) boleh dibunuh dengan cuaca panas.

“Cuaca panas tidak membunuh Covid-19. Benda yang tak betul, diperbesarkan. Adakah ini bertanggungjawab,” catatnya di Twitter.




Pakar di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh, Pahang itu melampirkan klip video laporan berita Presiden Persatuan Kawalan Jangkitan Malaysia Dr Norayati Abd Majid tentang langkah pencegahan Covid-19 di negara ini.

Dr Norayati ketika ditemuramah menasihatkan orang ramai agar lebih mementingkan penggunaan gel pembasmi kuman berbanding penutup muka.


Beliau juga menggalakkan agar orang ramai “rajin berjemur” di bawah panas matahari kerana virus akan mati pada suhu 25 hingga 26 darjah celcius terdedah pada sinaran ultra ungu (uv).


Menolak dakwaan itu, Dr Rafidah mengepil catatan blog rakan perubatannya, Dr Amalina Che Bakri yang menjelaskan belum ada kajian sahih cuaca panas mampu membunuh Covid-19, seperti flu.



Katanya, masyarakat sepatutnya dididik dengan langkah pencegahan yang betul termasuk cara mencuci tangan dan menjarakkan diri dengan masyarakat sekeliling ketika berkomunikasi.

Hantaran Dr Rafidah setakat ini diulang siar lebih 4,000 kali dan mendapat lebih 2,000 tanda suka.

No comments:

Post a Comment