Tuesday, 21 January 2020

POWER! Budak tiga tahun dari Malaysia IQ tinggi, paling muda sertai Mensa UK

Seorang kanak-kanak lelaki Malaysia berusia tiga tahun menjadi peserta termuda diterima masuk ke Mensa, kumpulan warga IQ tinggi, selepas mencapai skor luar biasa sebanyak 142 dalam ujian Stanford Binet.


Pencapaian luar biasa itu menjadikan Muhammad Haryz Nadzim Mohd Hilmy Naim, kini menetap di UK, dalam populasi 0.3 peratus manusia yang memiliki kecergasan (IQ) tinggi.


Menurut laporan Metro UK, ibu Haryz, Nur Anira Asyikin Hashim, 30, berkata kebolehan anaknya disedari setelah beliau mendedahkan buku-buku ketika Haryz berusia dua tahun.

Menurut Anira, anak pintar itu mengucapkan kata-kata pertamanya ketika berusia tujuh bulan dan ketika dia berusia dua tahun, Haryz sudah pandai membaca buku sebelum tidur.




Anira dan suaminya, Mohd Hilmy Naim Mohd Yakin, kedua-duanya mempunyai latar belakang kejuruteraan, mengakui bahawa mereka tidak menyangka anak lelaki mereka menunjukkan daya pemikiran tinggi di usia kecil.


“Kami tidak banyak pengalaman, jadi kami hanya anggap itulah cara kanak-kanak berfikir,” kata Anira.

“Ia hanya ketika dia mula pergi ke pusat jagaan kanak-kanak, kami diberitahu dia lebih ke depan berbanding kanak-kanak lain, kemudian kami sedar dia istimewa,” katanya.

Selepas Anira dan Mohd Hilmy mengetahui kebolehan luar biasa anak mereka dua tahun lalu, mereka mewujudkan saluran YouTube ‘Little Harzy’.

Namun Anira berkata anaknya masih berkelakuan seperti kanak-kanak tiga tahun yang lain.

“Dia gemar melompat ke dalam lopak, mengecat, menyanyi sama seperti kanak-kanak seusianya.

“Program televisyen kegemaran ialah Story Bots dan Numberblocks, tapi dia sering berbual dengan orang lebih dewasa dan tua.”

Selain membaca buku, kanak-kanak pintar itu suka bertanya soalan dan bercakap tentang angkasa lepas serta nombor-nombor.

Pasangan suami isteri itu juga gembira apabila Haryz diterima ke dalam Mensa dan berharap ia menjadi langkah pertama anak mereka dalam mencapai kejayaan gemilang.

“Ia mengujakan dan kami pasti ini akan membantunya memberi sedikit kepercayaan dan keyakinan diri jadi dia boleh memberi manfaat kepada masyarakat pada masa depan.

“Paling penting adalah dia gembira dengan apa yang dilakukan, dan kami akan berbangga dengannya tidak kira apapun pencapaian,” kata Anira.

No comments:

Post a Comment