Friday, 17 January 2020

MBPP lantik warden trafik bagi pastikan lalu lintas lancar



Anggota Warden Lalu Lintas Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang dilantik mempunyai hak untuk melaksanakan penguatkuasaan lalu lintas di kawasan pulau, khasnya George Town bermula hari ini.

Majlis Pelancaran Warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan MBPP yang berlangsung pagi ini disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dengan pemeriksaan perbarisan 70 anggota warden trafik.

Kon Yeow dalam ucapannya berkata, pelantikan tersebut merupakan satu lagi inisiatif baharu sebagai usaha tambahan dalam memastikan aliran lalu lintas di negeri ini sentiasa berada dalam keadaan lancar dan terkawal.

Menurut beliau, inisiatif ini secara langsung turut membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatasi masalah trafik di negeri ini.







“Justeru, Kerajaan Negeri menyokong penuh hasrat MBPP yang mengambil pendekatan sewajarnya untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.

“Seiring dengan pembangunan dan kemajuan infrastruktur, pertambahan jumlah kenderaan saban hari memaksa perancangan yang lebih terperinci dan teliti dilaksanakan.

“Dengan itu, ianya jelas bahawa kawalan penguatkuasaan adalah tepat pada masanya dan relevan bagi memastikan aliran lalu lintas berada dalam keadaan terkawal serta memuaskan,” ujarnya sambil menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga komited menyediakan penyelesaian pelan jangka panjang berhubung permasalahan berkenaan.

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Ahli-ahli Majlis MBPP; Deputi Komisioner (DCP) Datuk Roslee Chik (Timbalan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang); Asisten Komisioner (ACP) Soffian Santong (Ketua Polis Daerah Timur Laut, DTL); Ahmad Azrizal Tahir (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Penguatkuasaan dan Pendidikan Awam MBPP); Mohd. Azizan Md. Desa (Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MBPP) dan wakil-wakil dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba).

Pelantikan warden trafik MBPP dibuat mengikut Seksyen 3 (4B) Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333) dan ia adalah sah di sisi undang-undang.

Justeru, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menasihati semua warden trafik agar melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan profesional, penuh integriti dan sempurna.

“Aspek keselamatan perlu diberikan keutamaan agar penguatkuasaan yang diambil menepati ekspektasi rakyat secara keseluruhannya… akan ada masanya kritikan dan tohmahan dilemparkan, teruskan tanggungjawab yang diberikan mengikut peraturan dan SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan berlandaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

“Kita (Kerajaan Negeri) sedar bahawa penguatkuasaan undang-undang bukan suatu tugas yang mudah,” jelasnya.

Dalam pada itu, pada sidang media berasingan, Mohd. Azizan memberitahu bajawa terdapat 44 kesalahan yang boleh diambil tindakan dan dikeluarkan kompaun oleh warden trafik mengikut undang-undang.

“Antaranya, berhenti di petak kuning, membuat pusingan selain di tempat dibenarkan, memotong kenderaan di garisan berkembar, gagal menunjukkan lesen memandu, ingkar tanda dan isyarat lalu lintas,” ulasnya.



Warden trafik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang mula bertugas diberi kuasa untuk mengeluarkan saman bagi 44 jenis kesalahan dengan denda dari RM70 hingga RM300.

Kuasa dimiliki warden trafik tersebut hampir menyamai polis trafik walaupun mereka hanya boleh mengambil tindakan ke atas bilangan kesalahan yang lebih terhad.

Denda paling tinggi antara lain akan dikenakan ke atas pemandu yang melanggar lampu merah, memotong garisan berkembar, memandu berlawanan dengan aliran lalu lintas di jalan sehala dan gagal mematuhi arahan warden trafik.

Denda RM300 adalah muktamad dan tidak boleh dikurangkan, sementara denda lebih rendah boleh dikurangkan hingga separuh atau dikurangkan jika dibayar dalam tempoh 15 hari.

Warden trafik MBPP mengenakan uniform berwarna biru muda dengan selepang tali pinggang berwarna putih. Mereka juga memakai topi keledar yang dipasangkan dengan kamera video untuk merakam kesalahan sebagai bukti.

Warden juga boleh mengeluarkan saman ketika berpakaian preman, tetapi mereka dikehendaki memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa masing-masing.


No comments:

Post a Comment